103,183 mahasiswa dan graduan sertai Program PROTÉGÉ - Ewon
- nabalunews
- Jun 29
- 2 min read

29 Jun 2025
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, seramai 103,183 mahasiswa dan graduan berjaya menyertai pelbagai program keusahawanan dan kebolehpasaran di bawah Program Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (PROTÉGÉ) sejak pelaksanaannya dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
Beliau berkata, daripada jumlah itu seramai 69,387 mahasiswa dan graduan mengikuti program keusahawanan PROTÉGÉ dalam tempoh yang sama.
“Program ini dirangka untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berdaya saing, malah bersedia menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya utama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Karnival PROTÉGÉ KUSKOP Zon Borneo (Sabah) 2025 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, di sini, hari ini.
Ewon berkata, Program PROTEGE adalah antara satu inisiatif strategik KUSKOP dalam memperkasa belia dan graduan, khususnya di Sabah agar lebih bersedia menghadapi pasaran pekerjaan dan mampu menjana peluang ekonomi sendiri.
Beliau berkata seiring dengan aspirasi kerajaan memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kementeriannya turut menjalin kerjasama strategik bersama kementerian peneraju TVET dan pihak industri bagi menawarkan modul keusahwanan khusus untuk pelatih TVET.

“Berdasarkan Kajian Impak PROTEGE bagi tahun 2021 hingga 2023, sebanyak 55.2 peratus daripada 599 responden berjaya mendapat akses kepada pembiayaan pemasaran digital, bimbingan perniagaan dan seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan baharu.
“Oleh itu saya mengajak semua graduan dan mahasiswa supaya mengubah mindset – daripada pencari kerja kepada penjana pekerjaan dengan memilih laluan keusahawanan sebagai kerjaya yang berdaya maju,” katanya.
Ewon turut menyeru para belia di negeri ini agar merebut peluang menyertai program-program KUSKOP yang tidak hanya menumpukan kepada keusahawanan, tetapi juga kemahiran teknikal.

Karnival ini merupakan siri kedua daripada empat siri yang dirancang sepanjang tahun 2025 yang merupakan salah satu inisiatif strategik KUSKOP untuk memperkasa belia dan graduan, terutamanya di Sabah, dalam bidang keusahawanan dan kebolehpasaran.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, Kota Kinabalu atas kerjasama erat merealisasikan karnival ini.
Program itu disertai lima Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) lain di Sabah iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kinarut, Politeknik Kota Kinabalu, Kolej Komuniti Penampang dan North
Borneo University College (NBUC).
Pelbagai pengisian sepanjang program itu, antaranya pameran pelbagai produk usahawan tempatan, agensi kerajaan dan program bimbingan berkaitan keusahawanan.
Ewon berkata, pada tahun 2024, edisi karnival yang sama diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), dengan penyertaan seramai 1,196 peserta daripada 28 institusi pengajian awam dan swasta.
“Tema karnival kali ini, “Mahasiswa Pemacu Keusahawanan Belia”, sangat bertepatan dengan realiti semasa ekosistem keusahawanan negeri. Sabah memerlukan lebih ramai usahawan belia yang kompetitif, berpengetahuan serta mahir mengadaptasi teknologi dalam memajukan perniagaan,” katanya.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Rektor UiTM Sabah Prof.Madya Dr.Rozita @ Uji Mohammed, pegawai-pegawai kanan KUSKOP, ketua dan wakil agensi KUSKOP, UiTM dan wakil-wakil IPT Zon Borneo.
Comments