107 MP Blok Pembangkang sertai perarakan ke Bangunan Parlimen107 MP Blok Pembangkang sertai perarakan ke Bangunan Parlimen
top of page
  • Wartawan Nabalu News

107 MP Blok Pembangkang sertai perarakan ke Bangunan Parlimen


Sumber: Twitter

2 Ogos 2021

Oleh Marryan Razan dan Jacquline Ebit


KUALA LUMPUR: Seramai 107 Ahli Parlimen blok pembangkang berarak memasuki bangunan Parlimen pagi tadi sebagai tanda solidariti mereka yang mahu menuntut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kabinetnya meletakkan jawatan.


Ahli-ahli Parlimen itu mewakili Parti DAP, PKR, Amanah, Ikatan Demikratik Malaysia (MUDA), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Warisan, Parti Sarawak Bersatu dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).


Dalam video secara langsung yang dimuat naik ahli-ahli Parlimen dan pihak media, turut kedengaran lagu 'Inilah Barisan Kita' yang dimainkan semasa perarakan itu selain laungan “undur-undur”, “hidup rakyat”, “undur Muhyiddin”, “reformasi” dan “daulat tuanku”.


Bagaimanapun, wakil rakyat berkenaan hanya sampai di luar bangunan Parlimen selepas dihalang pihak berkuasa.


Mereka kemudiannya bersurai selepas rundingan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan wakil pihak berkuasa tidak mencapai kata sepakat.


Persidangan Parlimen sepatutnya diadakan hari ini tetapi ditangguhkan akibat kes Covid-19.


Ketika berucap di Dataran Merdeka sebelum perarakan ke Bangunan Parlimen sebentar tadi, Anwar mendakwa terdapat parti-parti lain telah mengemukakan senarai untuk keluar dari barisan Perikatan Nasional.


“Saya dapat maklumat ada dari parti-parti lain telah mengemukakan senarai yang minta keluar dari barisan Perikatan Nasional.


“Maka dengan 107 yang ada di sini tanpa mereka kerajaan sudah ditumbangkan. Soalnya ialah perlanggaran hukum, menggunakan kuasa membelakangi rakyat, membelakangi undang-undang, membelakangi Parlimen dan derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.


Beliau berkata, ahli-ahli parlimen berkenaan berarak memasuki bangunan Parlimen kerana Perdana Menteri dan kabinetnya telah melanggar “hukum” (melanggar titah Yang di-Pertuan Agong).


“Belum pernah berlaku dalam sejarah, perlanggaran “hukum” sedemikian rupa oleh Perdana Menteri dan kabinetnya, satu penghinaan kepada institusi raja. Dan ini yang menyebabkan kita berhimpun pada hari ini.


"Kerajaan juga melanggar Perlembagaan Persekutuan dan menghalang ahli parlimen menjalankan tugas," katanya.


Sementara itu Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, hari ini dalam sejarah Malaysia, ahli-ahli parlimen tidak boleh pergi ke Parlimen.


“Jadi saya bersama-sama dengan yang lain menyokong pendirian iaitu kita patut ada persidangan pada hari ini untuk bincang berkenaan dengan darurat.


“Saya harap rakyat faham kenapa kita membuat pendirian ini, kerana hari ini secara tidak langsung negara sudah tidak ada kerajaan.


Mahathir mendakwa, kerajaan Perikatan Nasional secara automatik terbubar apabila pengumuman pembatalan Ordinan Darurat tidak mendapat perkenan dari Agong dan tidak mengikut Pelembagaan Persekutuan.


Beliau berkata, tindakan mengumumkan sesuatu yang belum diperkenan oleh Agong adalah tidak mengikut peraturan.


“Negara kita ini is no longer ruling according to the law, jadi apa jenis kerajaan ini yang merosakkan negara kita?


“Saya harap rakyat akan sedar dan tolak orang yang semacam ini daripada memegang apa-apa jawatan. Jauh sekali menjadi Perdana Menteri.. Perdana Menteri pintu belakang, inilah yang kita dapat.


“Sepatutnya kita tumpu kepada masalah rakyat, tetapi mereka lebih tumpu kepada masalah politik,” katanya

bottom of page