11 lagi kes varian Omicron Covid-19 dikesan di Malaysia11 lagi kes varian Omicron Covid-19 dikesan di Malaysia
top of page
  • Wartawan Nabalu News

11 lagi kes varian Omicron Covid-19 dikesan di Malaysia


18 Dis 2021 Oleh Wartawan Nabalu News KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan bahawa 11 lagi kes varian Omicron Covid-19 dikesan di negara ini melibatkan sembilan orang warganegara Malaysia dan dua warganegara Nigeria. Menurut KKM, 11 kes yang dikesan itu adalah daripada 18 kes yang disyaki berkemungkinan varian Omicron seperti yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada 16 Disember. "Kesemua 11 kes varian Omicron yang dilaporkan ini adalah kes import, di mana tiga kes masing-masing dari United Kingdom dan Amerika, dua kes masing-masing dari Nigeria dan Arab Saudi serta satu kes dari Australia. "Lapan kes menunjukkan gejala namun hanya pada tahap kategori 2, dan tiga lagi kes tidak bergejala. "Kesemua kes ini sedang dalam siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca jangkitan dan kontak rapat," jelas KKM dalam satu kenyataan, hari ini. Daripada 11 kes itu, lima kes telah menjalankan kuarantin di rumah manakala enam lagi kes telah menjalankan kuarantin di pusat kuarantin. Bagaimanapun, tujuh lagi sampel tidak dapat disahkan varian Omicron kerana ujian jujukan genom penuh tidak berjaya dijalankan disebabkan tahap viral load yang rendah dalam sampel-sampel yang diterima, kata KKM lagi. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes varian Omicron Covid-19 yang dikesan di Malaysia kini sebanyak 13 kes. "Dengan peningkatan kes import varian Omicron di Malaysia, KKM akan mempertingkatkan lagi aktiviti kawalan dan pencegahan Covid-19 termasuk varian Omicron di semua Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) dan di dalam komuniti. "Setiap individu juga disaran mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 agar tahap perlindungan yang optimum dapat dicapai bagi mengekang penularan wabak ini," kata KKM.

bottom of page