top of page

14 Warga China Ditahan di Banglo Elit Kota Kinabalu; Disyaki Terlibat Scam Dalam Talian

nabalunews
1 hour ago
1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


6 Nov 2026


KOTA KINABALU - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Sabah menahan seramai 14 lelaki warga China dalam OPS SERKAP pada 4 November 2026, kira-kira jam 11.00 malam, di sebuah banglo tiga tingkat di kawasan elit, Kota Kinabalu.


Kesemua suspek berumur antara 26 hingga 44 tahun dan dipercayai berada di negara ini menggunakan Pas Lawatan Sosial. Daripada jumlah itu, 13 orang dikenal pasti melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa, manakala seorang lagi disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tidak memiliki pas atau permit yang sah.



Semua suspek juga dipercayai terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian (online scam) yang dijalankan dari premis tersebut.


Operasi itu dijalankan hasil risikan selama seminggu oleh JIM Sabah dan melibatkan penyertaan seramai 49 orang pegawai penguatkuasa dari Ibu Pejabat Kota Kinabalu, Jabatan Imigresen Malaysia, Negeri Sabah.



Antara barangan yang dirampas ialah wang tunai berjumlah RM3,742.00 dan CNY560.00, 14 unit komputer riba berserta kelengkapan komputer, 75 unit telefon bimbit daripada pelbagai jenama, 13 buah kerusi dan 6 buah meja serta satu set peralatan dan kelengkapan internet.


Kesemua suspek kini ditahan di Depot Imigresen Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63.


JIM Sabah memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang di bawah Akta Imigresen, termasuk tinggal lebih masa, berada tanpa pas atau permit sah serta penyalahgunaan pas.


Kegiatan warga asing yang disyaki terlibat dalam penipuan dalam talian turut diberi perhatian serius demi keselamatan rakyat dan kesejahteraan negara.


JIM Sabah akan terus memperkukuh tindakan penguatkuasaan dan pemantauan bagi mengekang aktiviti yang menyalahi undang-undang, serta mengalu-alukan kerjasama masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan kepada pihak berkuasa.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page