top of page

Wanita Ditahan, Dadah Disyaki Syabu Dirampas di Pulau Sebatik

nabalunews
57 minutes ago
1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


6 Nov 2026


TAWAU - Seorang wanita tempatan berusia 29 tahun ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam operasi Ops Tapis di kawasan sebuah rumah di Kampung Sungai Pukul, Pulau Sebatik, di sini, pagi semalam.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis (ACP) Rosdi Mat Jusoh, berkata tangkapan itu dilakukan oleh sepasukan polis dari Balai Polis Bergosong yang diketuai Ketua Polis Balai ketika menjalankan operasi di kawasan berkenaan.


Menurutnya, suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan ditahan untuk pemeriksaan sebelum pihak polis memperkenalkan diri dan meminta dokumen pengenalan diri wanita terbabit.


“Hasil pemeriksaan terhadap beg yang diserahkan suspek, pihak polis menemukan sebuah botol berwarna putih yang mengandungi 12 tiub plastik lutsinar pelbagai saiz berisi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat keseluruhan 3.0 gram,” katanya.



Jelasnya, suspek kemudiannya ditahan dan kesemua bahan disyaki dadah bersama barangan berkaitan dirampas untuk tindakan dan siasatan lanjut.


Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Semakan awal juga mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.


ACP Rosdi menegaskan, pihak polis memandang serius sebarang kegiatan berkaitan pemilikan dan penyalahgunaan dadah, dan tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi memastikan kawasan Tawau, termasuk penempatan di pulau-pulau, tidak dijadikan tempat aktiviti berkaitan dadah.


“Pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan tindakan tegas akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.


Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya menjauhi najis dadah serta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras gejala berkenaan demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di daerah ini.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page