• Wartawan Nabalu News

153,250 PEKERJA LADANG SAWIT DI SABAH DIARAH JALANI UJIAN COVID-19



25 Jan 2021

KOTA KINABALU: Seramai 153,250 pekerja sektor perladangan sawit di negeri ini wajib menjalani ujian saringan Covid-19.


Ketua Menteri Datuk Hajiji Haji Noor berkata, ini berikutan enam kluster Covid-19 dilaporkan hasil daripada pelaksanaan saringan pekerja- pekerja asing dalam sektor itu.


Sehubungan itu katanya, semua ladang di negeri ini diarah untuk melaksanakan ujian secara menyeluruh ke atas semua pekerja dalam tempoh 30 hari mulai hari ini (25 Januari).


"Saringan pekerja ini melibatkan sebanyak 1,160 ladang estet dan 33,034 ladang pekebun kecil sawit di seluruh Sabah dengan jumlah pekerja sebanyak 153,250 orang.


"Bagi ladang yang ada kes positif Covid-19, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menutup operasi ladang dengan serta-merta untuk memastikan kerja-kerja pencegahan dapat dilaksanakan.


"Pembukaan semula operasi ladang adalah tertakluk kepada penilaian pihak KKM," katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Hajiji berkata, kerajaan negeri melahirkan kebimbangan akan situasi perkembangan kes Covid-19 melibatkan sektor perladangan sawit di Sabah.


Beliau berkata, sehingga 24 Januari (kelmarin), sebanyak enam kluster Covid-19 dilaporkan hasil daripada pelaksanaan saringan pekerja-pekerja asing di bawah Program PERKESO.


"Daripada enam kluster ini, sebanyak 254 kes positif melibatkan pekerja, kontak rapat keluarga serta individu bergejala yang tidak bekerja di ladang," katanya.


Beliau berkata, kerajaan menghargai inisiatif pihak pemain industri perladangan untuk melaksanakan sekatan pergerakan keluar masuk pekerja-pekerja (locked down) secara sukarela di ladang masing-masing sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19.


Hajiji berkata, kerajaan negeri akan memantau perkembangan situasi kes Covid-19 di sektor peladangan sawit di negeri ini dari semasa ke semasa dan memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh KKM.


"Kerajaan Negeri juga menasihatkan agar semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com