top of page

BUDI Diesel Beralih Kepada Subsidi Terus Melalui MyKad Mulai 1 Julai 2026

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 2 min read

23 Jun 2026


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan mekanisme baharu subsidi diesel menerusi program BUDI Diesel mulai 1 Julai 2026, dengan penggunaan MyKad sebagai kaedah pengesahan kelayakan bagi membolehkan rakyat yang layak menikmati diesel bersubsidi secara terus di stesen minyak.


Menurut Kementerian Kewangan, BUDI Diesel merupakan kesinambungan usaha Kerajaan MADANI bagi memastikan manfaat subsidi diesel disalurkan secara lebih bersasar, di samping mengurangkan ketirisan, penyalahgunaan dan aktiviti penyeludupan yang membebankan kewangan negara.


Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, “Penurunan harga diesel bersubsidi adalah salah satu cara bagaimana penjimatan ini disalurkan semula kepada rakyat, begitu juga dengan inisiatif seperti bantuan Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah yang ditingkatkan untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup terhadap golongan yang benar-benar memerlukan.”


Kementerian memaklumkan BUDI Diesel akan disepadukan dengan BUDI MADANI RON95 (BUDI95), dengan MyKad digunakan sebagai alat pengesahan kelayakan subsidi. Pembayaran pembelian bahan api pula boleh dibuat seperti biasa menggunakan kaedah pembayaran yang tersedia di stesen minyak seperti tunai, kad kredit, kad debit dan e-dompet terpilih.


Bagi penerima sedia ada BUDI Diesel Individu, bantuan tunai bulanan RM400 akan digantikan dengan subsidi diesel secara langsung melalui pengesahan MyKad di stesen minyak. Penerima sedia ada akan dipindahkan ke mekanisme baharu itu secara automatik tanpa perlu mengemukakan permohonan tambahan.


Sebagai persediaan pelaksanaan penuh pada 1 Julai 2026, akses awal BUDI Diesel dibuka mulai 27 Jun 2026 kepada pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia.


Di bawah mekanisme baharu tersebut, setiap individu yang layak akan menerima had kelayakan asas sehingga 200 liter sebulan yang boleh digunakan secara fleksibel untuk pembelian diesel bersubsidi atau RON95 bersubsidi, tertakluk kepada baki kelayakan bulanan masing-masing. Berdasarkan data perangkaan, hampir 90 peratus pemandu di Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter bahan api sebulan dan had itu dijangka mencukupi bagi kebanyakan penerima yang layak.


Bagi pemilik persendirian kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak, tambahan 100 liter sebulan boleh dipohon, menjadikan jumlah kelayakan sehingga 300 liter sebulan. Kemudahan tambahan itu disediakan bagi membantu keperluan golongan peniaga PMKS dan mereka yang berulang-alik dari kawasan pedalaman.


Selain pemilik kenderaan diesel persendirian, kemudahan BUDI Diesel untuk membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter melalui penggunaan MyKad turut dipanjangkan kepada golongan seperti pengusaha bot sungai dan pemilik genset di kawasan pedalaman. Kerajaan Persekutuan juga bekerjasama dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak bagi memastikan keterangkuman liputan diesel bersubsidi kepada rakyat.


Pada masa sama, mekanisme subsidi diesel sedia ada bagi sektor strategik dan kritikal akan terus dikekalkan, termasuk diesel bersubsidi pada harga RM1.65 seliter untuk nelayan, BUDI Agri-Komoditi bagi petani kecil dan pemegang tanah komoditi berdaftar, serta SKDS 1.0 pada harga RM1.88 seliter untuk pengangkutan awam darat termasuk bas sekolah dan bas ekspres.


Pemilik kenderaan diesel persendirian boleh menyemak status kelayakan dan had kelayakan bulanan secara dalam talian melalui portal rasmi BUDI MADANI bermula 22 Jun 2026, manakala pemilik pikap dan jip yang layak juga boleh mengemukakan permohonan tambahan 100 liter sebulan melalui portal yang sama atau secara fizikal di pejabat LHDNM termasuk di UTC.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page