16 PATI Ditahan Dalam Operasi Penguatkuasaan di Lahad Datu
- nabalunews
- Oct 4
- 1 min read

4 Oktober 2025
LAHAD DATU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Lahad Datu terus memperhebat usaha membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi pelaksanaan beberapa siri Operasi Sapu yang dijalankan di sekitar daerah ini.
Dalam operasi yang dijalankan pada 30 September lalu, seramai 15 pegawai penguat kuasa JIM Lahad Datu terlibat bagi memastikan tindakan operasi berjalan lancar.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff, hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap 90 individu membawa kepada penahanan 16 PATI.

Katanya, semua ditahan atas kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, selepas didapati tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah.
“Semua tahanan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) serta Seksyen 15(1)(c) akta berkenaan.
“Tahanan melibatkan 10 warganegara Filipina yang terdiri daripada seorang lelaki dewasa, lapan wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan.
“Manakala, enam lagi individu ditahan adalah warganegara Indonesia yang melibatkan dua lelaki dewasa serta empat wanita dewasa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan di laman sosial rasmi JIM.
Menurutnya, operasi itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan jabatan dalam membendung masalah PATI di negeri ini.
“Masyarakat digesa agar terus menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran pendatang tanpa izin di kawasan masing-masing supaya tindakan segera dan berkesan dapat diambil.
“JIM Sabah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati melindungi, menggaji atau bersekongkol dengan PATI,” katanya.
Menurutnya, tindakan tegas akan dikenakan berdasarkan lunas undang-undang sedia ada demi memastikan keselamatan serta kestabilan negara terus terpelihara.


















Comments