160 KELUARGA TERIMA SUMBANGAN DARIPADA KUMPULAN SUKARELAWAN TEMPATAN
28 DIS 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Sekumpulan sukarelawan tempatan menyampaikan sumbangan berupa keperluan makanan melalui program “We care, Kita Sayang” kepada seramai 160 keluarga yang terjejas ekoran perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Kg. Mondikot Papar.
Wakil kumpulan sukarelawan Lincoln Martin Idang berkata, sumbangan itu bertujuan untuk membantu meringankan bebanan penduduk kampung yang terkesan akibat covid-19.
“Kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan dan membawa keceriaan kepada para penerima sumbangan.
“Kami akan meneruskan aktiviti kebajikan seumpama ini untuk membantu lebih ramai orang yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Lincoln turut menyeru semua pihak yang berkemampuan termasuk individu, NGO atau syarikat-syarikat korporat supaya masing-masing melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) membantu mereka yang memerlukan bantuan.
Kumpulan sukarelawan yang dianggotai ahli-ahli perniagaan, usahawan, kontraktor tempatan Sabah dengan kerjasama Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), menyampaikan sumbangan itu di Mondikot Deer Camp, Papar, baru-baru ini.
Kumpulan sukarelawan itu diketuai Datuk Yeo Hock Ching. Turut hadir Pengerusi BSMM Sabah Datuk Asnan Yunus Chung.
Comments