top of page
nabalunews

Perwakilan asing dibawa melawat Pantai Timur Sabah, tinjau sendiri tahap keselamatan


26 Julai 2024


SEMPORNA: 11 perwakilan asing dari 10 negara dibawa melawat kawasan perairan dan pulau pulau di Zon Selamat Timur Sabah, ESSZONE mulai semalam sehingga hari ini.


Inisiatif oleh Kementerian Dalam Negeri, KDN dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah, ESSCOM ini bertujuan memberi pendedahan kepada perwakilan asing untuk melihat sendiri tahap keselamatan di pantai Timur Sabah, selain meneroka keindahan pulau pulau pelancongan di Timur Sabah untuk disampaikan kepada masyarakat di negara mereka.


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berharap hasil program ini nanti akan memberi impak yang besar kepada Malaysia amnya dan Sabah khususnya berkaitan amaran perjalanan atau Travel Advisory yang dikeluarkan negara asing terbabit berhubung tahap keselamatan di Pantai Timur Sabah.


"Dari pagi daripada malam tadi, pagi ni dan separuh hari ini, sepanjang saya berinteraksi dengan mereka samada di dalam bot ataupun di tempat pulau dimana kami turun, saya berpeluang untuk menjawab banyak perkara, banyak persoalan yang mereka bangkitkan dan sememang itupun tujuan kita.


"Lagi banyak mereka tanya lagi bagus sebab kita boleh mempersiapkan mereka dengan jawapan. Jadi umumnya, kalau ianya tentang potensi pelancongan keindahan pulau dan sebagainya, itu mereka bagi markah penuhlah.


"Lawatan ini benar-benar satu pendedahan kepada mereka, mereka ni adalah pegawai senior yg attach dengan kedutaan mereka, jadi mereka tentunya akan membantu dari segi travel Advisory yg lebih tepat kepada rakyat di negara mereka," katanya dalam sidang media di Semporna selepas program taklimat dan tinjauan keselamatan Menteri Dalam Negeri bersama perwakilan asing termasuk dari Amerika Syarikat, Australia, United Kingdom, Jerman, Kanada, Jepun, Perancis, Finland dan Denmark di Zon Selamat Timur Sabah di Semporna, siang tadi.


Program ini bertujuan untuk memberikan gambaran yang lebih tepat mengenai situasi di Pantai Timur Sabah termasuk dari aspek keselamatan.


Dalam program ini, Saifuddin dan perwakilan asing dibawa melawat ke pulau pulau dan pos kawalan keselamatan polis dan Angkatan Tentera Malaysia di sekitar Semporna termasuk Pulau Mabul, Pulau Sipadan dan Pulau Kapalai.


"Jadi dengan membawa perwakilan asing ini, pertama kita yakinkan mereka keadaan keselamatan kawasan ini berada dalam tahap yg sangat memuaskan.


"Kedua untuk mereka mengenali sendiri produk pelancongan di kawasan ini yg sekaligus itu akan dapat membantu melonjakkan lagi industri pelancongan di Pantai Timur Sabah kerana jaminan keselamatan adalah keutamaan kita dan kita yakin bahawa sektor pelancongan ini adalah sektor yang kebelakangan ini menunjukkan semua petunjuk peningkatan," katanya.


Turut serta dalam program lawatan ini ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew dan Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos.


Perwakilan asing yang ditemui media berpuas hati dengan tahap keselamatan di Pantai Timur Sabah dan menyifatkan lawatan itu amat bermanfaat bagi membolehkan mereka melihat sendiri tahap keselamatan di Pantai Timur Sabah.


"Pada ketika ini negara kami dan juga Kedutaan Finland mengeluarkan nasihat perjalanan di rantau ini. Namun lawatan ini amat bermanfaat kerana kami dapat melihat sendiri suasana di sini," kata wakil Kedutaan Finland di Malaysia, Anni Stahle.


Wakil Kedutaan Australia di Malaysia, Michael Edward berkata lokasi yang dilawati perwakilan asing, amat cantik dan indah, manakala tahap keselamatannya amat baik sekali.


Setiausaha Kedua Suruhanjaya British di Malaysia, Rob Pepper berkata lawatan ini amat bermanfaat kerana membolehkan perwakilan asing melihat sendiri keadaan di perairan Pantai Timur Sabah di saat nasihat perjalanan itu sedang diteliti dari masa ke semasa.

Comments


bottom of page