top of page

Abang Johari sambut baik pendekatan MA63

nabalunews
1 hour ago
1 min read

11 Sept 2026


KOTA KINABALU: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyambut baik pendekatan Kerajaan Persekutuan yang mahu pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilihat sebagai satu komitmen nasional.


Jelasnya pendekatan itu penting bagi memastikan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan serta MA63 terus diselaraskan dengan usaha memperkukuh keutuhan negara Malaysia.


Menurutnya, MA63 tidak seharusnya dilihat hanya sebagai isu yang melibatkan Sabah dan Sarawak, sebaliknya perlu dilihat dalam konteks pembangunan dan masa depan Malaysia secara keseluruhannya.


“Saya menyokong pendekatan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bahawa perkara MA63 ini adalah perkara nasional,” katanya.


Abang Johari berkata pendekatan tersebut adalah praktikal kerana pembangunan Sabah, Sarawak dan Semenanjung perlu bergerak seiring bagi memastikan kestabilan serta kemakmuran negara.


Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik persetujuan untuk memperkenalkan formula yang mengambil kira kedudukan kewangan Persekutuan dan negeri dalam menyelesaikan perkara berkaitan MA63.

Katanya, formula berkenaan perlu bersifat menang-menang antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak.


“Kalau negara kita baik, sudah tentu Persekutuan dia baik. Kalau tidak baik kita pun menerima hakikat dan lebih penting supaya kestabilan kewangan negara ini stabil,” katanya.


Abang Johari berkata pendekatan berkenaan dapat membantu memastikan pelaksanaan perkara berkaitan MA63 dibuat secara teratur dengan mengambil kira kepentingan semua pihak.


Beliau berkata matlamat akhirnya adalah memastikan pembangunan dan kestabilan Malaysia terus diperkukuh berlandaskan semangat pembentukan Malaysia.- Sumber TVS

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page