top of page

Kerusi Parlimen Sabah, Sarawak akan ditambah – Anwar

nabalunews
2 hours ago
2 min read

11 Sept 2026


KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak akan ditambah dengan nisbah perwakilan kedua-dua wilayah itu dipastikan lebih tinggi berbanding kedudukan sekarang.


Beliau berkata, prinsip penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak itu telah dipersetujui dan diluluskan Jemaah Menteri pada Rabu lalu.


Katanya lagi, penambahan itu bukan sekadar melibatkan jumlah kerusi, tetapi mesti turut meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Parlimen.


“Penambahan Ahli Parlimen itu wewenang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Maknanya, mungkin ada penambahan juga dari Semenanjung, penambahan dari Sabah dan Sarawak.


“Tetapi penambahan ini tidak boleh menjejaskan prinsip nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak yang harus lebih tinggi daripada yang ada sekarang,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) bagi Tahun 2026, di sini, hari ini.


Anwar berkata, ketika pembentukan Malaysia pada 1963 yang turut melibatkan Singapura, nisbah perwakilan Singapura, Sabah dan Sarawak adalah satu pertiga.


Katanya, nisbah Sabah dan Sarawak ketika ini sudah berkurangan dan atas sebab itu, kerajaan memutuskan supaya nisbah perwakilan kedua-dua wilayah berkenaan ditingkatkan.


“Penambahan dengan peningkatan nisbah penyertaan Sabah dan Sarawak, itu yang penting,” katanya.


Ketika ditanya mengenai jumlah kerusi yang disasarkan, Anwar berkata, kerajaan belum menetapkan angka tertentu kerana mekanisme pelaksanaannya perlu dibincangkan bersama SPR, negeri-negeri serta parti-parti politik.


Beliau menegaskan prinsip yang dipersetujui kerajaan ialah mesti berlaku penambahan kerusi yang pada masa sama meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak.


Pada masa ini, Sabah dan Sarawak mempunyai keseluruhan 56 daripada 222 kerusi Parlimen.


Anwar berkata, SPR sudah dimaklumkan mengenai keputusan Kabinet itu dan rundingan berkaitan penambahan kerusi berkenaan akan dimulakan.


Bagaimanapun, beliau berkata, belum dapat dipastikan sama ada proses itu dapat diselesaikan sebelum Pilihan Raya Umum akan datang kerana ia memerlukan rundingan, muafakat serta perlu melalui proses Perlembagaan.


“Kabinet dah putuskan, saya dah maklumkan kepada SPR dan mereka akan tentu mulakan rundingan.


“Saya fikir kalau untuk pilihan raya ini, saya tak pasti boleh sempat atau tidak. Sebab kena muafakat, kemudian ada proses.


“Saya tidak mahu ganggu dari segi proses Perlembagaan, tetapi yang penting keputusan dibuat dan SPR telah dimaklumkan,” katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, kerajaan turut memutuskan supaya fasa kedua penambahan jawatan penting untuk Sabah dan Sarawak disegerakan.


Katanya, ia termasuk pelantikan anak-anak Sabah dan Sarawak ke jawatan dalam jabatan-jabatan utama, selaras dengan perkara yang diperakui dalam MA63 dan Suruhanjaya Cobbold.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page