top of page

SOKID Wikikamus sumbang 2,849 kosa kata Kadazandusun

nabalunews
1 day ago
2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


KOTA BELUD, 11 September – Program SOKID – Wikikamus Bahasa Kadazandusun Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 berjaya menyumbang 2,849 kata baharu Bahasa Kadazandusun ke Bahasa Melayu ke dalam Wikikamus, sekali gus mencatatkan 3,280 suntingan membabitkan penambahbaikan halaman dan contoh ayat.


Program yang berlangsung pada 9 September lalu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tengkurus, Kota Belud itu dianjurkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Belud dengan kerjasama SK Tengkurus, membawa slogan “Bersama Mendigitalkan Warisan, Memperkasa Generasi.”



Seramai 70 murid daripada 15 sekolah yang mewakili enam daerah/PPD menyertai program dua sesi itu, iaitu PPD Kota Belud, Tuaran, Pitas, Ranau, Kota Marudu dan Kudat. Sebanyak 44 murid datang daripada tujuh sekolah bawah PPD Kota Belud, manakala 26 murid lagi daripada lapan sekolah luar PPD Kota Belud.


Program turut dibantu 17 guru pengiring, 10 fasilitator Wikimedia dan 10 Pasukan Teknikal ICT Sekolah (PTIS) Kota Belud. Peserta bertindak sebagai editor Wikikamus dengan memasukkan kosa kata dan menambah baik halaman terjemahan.



Secara purata, setiap editor menyumbang 41 kata. Adik Christie Lestyee Kustin dari SK Tengkurus, Kota Belud muncul peserta terbaik dengan 163 kata baharu, diikuti Adik Hannah Evangeline Valerie Cornie Bryan dari SK Kauluan, Ranau di tempat kedua dan Adik Cheryll Loevellyca Chloe dari SK Lasau Podi, Kota Belud di tempat ketiga.


Program itu bertujuan memperkasa pendigitalan dan pemeliharaan Bahasa Kadazandusun melalui Wikikamus, memberi pendedahan kepada murid dan guru tentang kaedah menyumbang kandungan bahasa dalam platform digital terbuka, menggalakkan penglibatan generasi muda mendokumentasikan kosa kata Bahasa Kadazandusun serta mewujudkan kolaborasi antara sekolah, PPD dan komuniti Wikimedia dalam usaha pemeliharaan bahasa ibunda.


Sekolah terlibat di bawah PPD Kota Belud ialah SK Tengkurus, SK Piasau, SK Tambulion, SK Dudar, SK Timbang, SK Lasau Podi dan SK Melangkap. Bagi luar PPD Kota Belud, daerah Ranau diwakili SK Kilimuod dan SK Kauluan, Pitas diwakili SK Dallas dan SK Maringgan, Kota Marudu diwakili SK Garai, Kudat diwakili SK Barambangon; serta Tuaran diwakili SK St. John dan SK Lingkungan.


Majlis perasmian disempurnakan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kadamaian, Jeremy @ Ukoh Malajad, mewakili Timbalan Ketua Menteri III, Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick. Turut hadir ialah Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembangunan Murid, PPD Kota Belud, Lorrendah Joseph.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page