17 DARIPADA 42 JALAN ROSAK AKIBAT BANJIR DI SABAH TELAH DIBAIKI - JKR17 DARIPADA 42 JALAN ROSAK AKIBAT BANJIR DI SABAH TELAH DIBAIKI - JKR
top of page
  • nabalunews

17 DARIPADA 42 JALAN ROSAK AKIBAT BANJIR DI SABAH TELAH DIBAIKI - JKR


gambar hiasan

5 Feb 2021


KOTA KINABALU: Tujuh belas daripada 42 batang jalan raya di Sabah yang rosak dan terputus berikutan hujan lebat serta banjir bulan lepas telah dibaiki dan boleh dilalui oleh semua kenderaan.


Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah Ali Ahmad Hamid berkata sebanyak 16 jalan raya pula boleh dilalui sebelah lorong sahaja manakala selebihnya akan dibaiki secara berperingkat.


"Antara jalan raya yang terjejas teruk termasuk laluan Kota Kinabalu-Tambunan bagaimanapun JKR telah membuat laluan alternatif yang boleh dilalui oleh semua kenderaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kewangan daripada Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin juga Menteri Kerja Raya Sabah dan Persatuan Kakitangan Islam (PKI) JKR Sabah kepada Rumah Anak-Anak Yatim As-Sakinah (RAY As-Sakinah) di sini.


Ali Ahmad berkata JKR juga turut menggunakan peruntukan kecemasan bagi membaiki kawasan yang terlibat dengan tanah runtuh dan tidak melibatkan kos pembaikan yang tinggi.


Mengenai program berkenaan, Ali Ahmad yang juga Pengerusi PKI JKR Sabah berkata usaha itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial persatuan tersebut kepada komuniti luar terutamanya golongan yang amat memerlukan bantuan.


Beliau berkata program itu juga akan diperluaskan ke rumah-rumah anak yatim di kawasan lain termasuk ke Beaufort dan Tuaran.


Sementara itu, Pengerusi RAY As-Sakinah Samin Ongki menghargai sikap cakna masyarakat luar khususnya PKI JKR Sabah yang memilih RAY As-Sakinah sebagai lokasi lawatan dan menghulurkan bantuan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Beliau berkata RAY As-Sakinah kini sedang dalam perancangan untuk mendirikan sebuah rumah anak yatim serba lengkap yang dianggarkan menelan belanja sebanyak RM1.9 juta.


“Dengan sokongan daripada semua pihak, sektor korporat dan individu perseorangan, impian untuk mendirikan sebuah rumah anak yatim yang baharu akan dapat direalisasikan,”katanya. - Bernama

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page