184 pelajar dari tiga buah negara Malaysia, Brunei dan Indonesia menyertai program STEM Exploration Camp
- nabalunews
- Dec 12, 2024
- 2 min read

12 Disember 2024
KUALA PENYU: Seramai 184 pelajar dari 3 buah negara - Malaysia, Brunei dan Indonesia menyertai program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Exploration Camp Kuala Penyu 2024 peringkat antarabangsa di Sekolah Kebangsaan Pekan Menumbok baru-baru ini.
Program yang berlangsung selama 3 hari itu, dianjurkan bersama kerajaan negeri Sabah, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Jabatan Pendidikan Sabah dan Pejabat Pendidikan Kuala Penyu.
Turut menjayakan program ini ialah tenaga pengajar daripada Institut Pendidikan Guru Kampus Kent , IPGM Kampus Keningau, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM) Sabah.
Majlis perasmian penutupan di sempurnakan oleh Dr Mohd Azam Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Professionalisme) merangkap Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Beliau mewakili Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Berucap merasmikan majlis itu, Mohd Azam berkata program STEM Exploration Camp antara pendekatan yang tepat pada masa ini dalam menyediakan generasi pelajar sejak awal lagi dari peringkat sekolah rendah untuj memupuk minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi dan Kejuruteraan sebelum melangkah ke peringkat sekolah menengah kelak.
Katanya, negara amat memerlukan lebih ramai tenaga mahir pada masa ini dan akan datang terutama untuk bersaing di dunia yang semakin berkembang pesat di seluruh dunia.
Sementara itu, Yang Dipertua PGBM Sabah yang juga Guru Besar SK Pekan Menumbok, selaku pengelola program berkata, jalinan kerjasama dan sokongan penuh kerajaan negeri khususnya Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi khususnya menterinya Datuk Dr Ariffin Arif atas sokongan berterusan yang tidak berbelah bahagi dalam memajukan bidang pendidikan di negeri ini termasuk memberikan bantuan dana kewangan.
“Kami menghargai usaha kerajaan negeri Sabah dalam memperkenalkan pelbagai program dan insentif yang bertujuan untuk memperkasakan pendidikan, amat banyak bantuan yang di salurkan untuk bidang pendidikan seperti BAGUS, BISBAH, BISTARI, BUDI, BAIK, SUBFLY, BALKIS, BANTU dan sebagainya.
"Kita yakin usaha ini memberikan manfaat kepada pelajar juga kepada masyarakat keseluruhannya," katanya.
Program diserikan lagi dengan pelbagai aktiviti antaranya sesi ceramah STEM, Pameran Inovasi STEM, perkongsian pintar Inovasi STEM sekolah-sekolah sekitar negeri ini dan juga persembahan budaya antara 3 negara dan penyampaian sijil pengiktirafan penyertaan kepada pelajar dan guru serta para penceramah jemputan.
Hadir sama Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin, Timbalan Pengarah Pendidikan Sabah Sektor Pembangunan Murid, Muddin Beting dan Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Penyu, Dr Suntik Tuin.
Comentários