2.89 juta dos vaksin akan dihantar ke Sabah bulan ini2.89 juta dos vaksin akan dihantar ke Sabah bulan ini
top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

2.89 juta dos vaksin akan dihantar ke Sabah bulan ini



6 September 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan akan menghantar 2.89 juta dos vaksin Covid-19 ke Sabah pada bulan ini bagi membantu meningkatkan kadar vaksinasi harian.


Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ia sekaligus membantu kerajaan negeri mencapai sasaran 60 peratus daripada jumlah populasi dewasa di negeri ini mendapat vaksinasi lengkap menjelang akhir bulan September, dan 80 peratus menjelang akhir Oktober.


“Kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) juga akan meneruskan serta mempertingkatkan program ‘Mobile Outreach’ pada September dan Oktober melibatkan lebih 130 program bagi memperluaskan jangkauan program imunisasi ke kawasan pedalaman," katanya pada sidang media khas selepas sesi mesyuarat bersama CITF Sabah di Menara Kinabalu PPNS, di sini, hari ini.


Sementara itu dalam kenyataan media Ketua Menteri Datuk Hajiji Haji Noor berkata, Sabah masih memerlukan bekalan vaksin yang agak banyak iaitu 2,672,645 dos.


Beliau berkata, ia berdasarkan bilangan baki penduduk yang belum menerima vaksin dan jumlah penduduk yang masih menunggu dos 2.


“Jumlah itu hanyalah untuk penduduk dewasa dan belum melibatkan penduduk berumur 12 tahun hingga 17 tahun,” katanya dan menambah seramai 122,190 orang penduduk berumur 18 tahun ke bawah di Sabah telah mendaftar dalam sistem MySejahtera setakat 4 September.


Hajiji berkata, peratusan penduduk dewasa di negeri ini yang lengkap menerima vaksin meningkat kepada 44.8 peratus sementara peratusan penduduk yang telah menerima dos 1 adalah 63.7 peratus.


“Kerajaan negeri yakin dengan kapasiti Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berjumlah 83,140 orang sehari dan pelaksanaan program outreach ke kawasan terpencil, sasaran untuk mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk diberikan imunisasi akan tercapai pada bulan Oktober ini.


“Kita juga berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas keprihatinan pemberian bekalan vaksin yang diperlukan.


“Bekalan vaksin sebanyak 1,056,360 dos pada bulan Julai diikuti 1,650,510 dos pada bulan Ogos dan 765,920 dos sehingga 5 September telah dapat melonjakkan aktiviti pemberian vaksin dan meningkatkan kadar peratusan penduduk diimunisasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini sempena lawatan kerja Menteri Kesihatan ke Sabah, di sini hari ini.


Haji turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Khairy, atas lawatan kerjanya yang pertama ke Sabah sebagai Menteri Kesihatan selepas dilantik menerajui Kementerian Kesihatan pada 27 Ogos lalu.


Hajiji dan Khairy turut mempengerusikan bersama Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi COVID- 19 Kebangsaan yang berlangsung di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page