2 bot berlanggar di Pulau Sebangkat, 2 warga asing hilang, seorang cedera parah
- nabalunews
- Aug 8, 2024
- 1 min read

8 Ogos 2024
SEMPORNA : Dua lelaki warga asing hilang, manakala seorang lagi parah selepas bot yang mereka naiki dilanggar sebuah bot lain dalam kejadian di perairan Pulau Sebangkat, di sini, Selasa lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, bot yang dinaiki empat lelaki masing-masing berusia lingkungan 30-an itu dilanggar hingga menyebabkan dua daripada mereka hilang dan seorang lagi parah.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu telah diaktifkan untuk Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat).
Katanya, aset Bot Bangi 11 dan Bot Adal 18 dari Zon Maritim Semporna digerakkan ke lokasi kejadian bagi menyelamat mangsa sebaik menerima maklumat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.
“Berdasarkan maklumat awal, bot yang dinaiki empat mangsa terbabit dikatakan keluar ke laut pada jam 5 petang, Isnin lalu.
“Bagaimanapun, bot mereka dilanggar oleh sebuah bot lain di perairan berkenaan, namun individu yang melanggar bot mangsa telah melarikan diri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Amir berkata, dua penumpang terselamat namun seorang daripadanya mengalami kecederaan di lengan, lutut serta bahagian belakang dan telah mendapatkan rawatan di wad kecemasan Hospital Semporna.
“Dua lagi penumpang masih hilang dan operasi yang memasuki hari ketiga kini diperluaskan kepada limasektor dengan penambahan radius kawasan pencarian kepada 27 batu nautika persegi,” katanya.
Beliau berkata, operasi turut dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Taman – Taman Sabah.
Comentarios