top of page
  • Wartawan Nabalu News

20 pelajar alami keracunan akibat minum campuran berkarbonat dan spirit


10 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PITAS: Seramai 20 pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di daerah ini mengalami keracunan metanol akibat meminum campuran minuman berkarbonat dan spirit yang dibeli dari kedai runcit berhampiran.


Dua daripada pelajar itu kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan HQE II, manakala 18 lagi dalam keadaan stabil di Hospital Pitas.


Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superitendan Zairolnizal Ishak berkata, kejadian berlaku pada Selasa lalu selepas pelajar berkenaan secara beramai-ramai meminum campuran itu di dalam bilik asrama.


"Tujuan kedua-dua cecair tersebut dibeli adalah untuk mendapat kesan yang sama dengan arak memandangkan kawasan sekitar asrama tidak menjual arak," katanya.


Beliau berkata, tiga pelajar mengalami sakit perut dan mengadu kurang sihat kepada warden asrama, yang kemudian membawa mereka ke klinik komuniti.


"Mereka kemudian dibenarkan pulang dan diarahkan datang semula jika gejala semakin teruk. Bagaimanapun, kira-kira jam 6.30 pagi Khamis, tiga pelajar terbabit telah dibawa ke unit kecemasan Hospital Pitas di mana dua daripadanya mengalami kekejangan otot serta mengalami sesak nafas," jelasnya.


Zairolnizal berkata, pihak hospital pada mulanya mengesyaki gejala tersebut adalah mabuk metanol daripada mana-mana cecair arak, namun selepas dapat mengesan botol spirit yang diberikan oleh mangsa, kes diklasifikasi sebagai keracunan hidrokarbon (spirit) memandangkan ia berasaskan petroleum.


Tambah beliau, setakat ini tidak ada sebarang keterangan yang boleh mengaitkan kes dengan sebarang unsur jenayah.



bottom of page