top of page
  • Wartawan Nabalu News

25 peserta wanita dari Kadamaian jayakan kursus anyaman bakul


Anichlose (duduk tengah) bergambar bersama peserta kursus anyaman bakul anjuran Hopes Malaysia.

25 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Seramai 25 peserta terdiri daripada wanita menyertai kursus anyaman bakul untuk menyimpan botol minuman selama empat hari, di Pusat Khidmat Adun Kadamaian, di sini.


Kursus itu dianjurkan oleh Hopes Malaysia sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam membantu masyarakat dan Pusat Khidmat Adun Kadamaian.


Pengerusi Penyelaras Pusat Khidmat Adun Kadamaian Anichlose Kesimin berkata, kursus ini adalah kesinambungan daripada kursus Anyaman tikar yang diadakan pada Mac lalu bertujuan menambah dan meningkatkan lagi kemahiran dan minat dalam seni kraf warisan di kalangan wanita khususnya suri rumah, ibu tunggal dan belia.



“Saya berharap mereka dapat menggunakan kemahiran seni kraf untuk menghasilkan lebih banyak produk kraftangan mengikut kekreatifan mereka bagi menambah sumber pendapatan keluarga.


“Mereka boleh menjual produk kraftangan mereka di pusat-pusat eko pelancongan di Kadamaian sebagai cenderahati. Ini kerana kraftangan adalah antara produk yang popular sebagai hadiah atau cenderahati, sama ada untuk pelancong tempatan atau asing,” katanya.


Anichlose berharap, kursus seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membolehkan lebih ramai peserta menyertainya.



“Kursus seumpama ini memberi manfaat kepada komuniti khususnya suri-suri rumah dan ibu-ibu di kawasan Kadamaian.


“Pusat Khidmat Adun Kadamaian merakamkan tahniah dan terima kasih kepada pihak Hopes Malaysia yang diketuai oleh Sam Lee dan Efendi Lim kerana memilih Kadamaian sebagai lokasi menganjurkan kursus ini,” katanya.


Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada tenaga pengajar daripada Koperasi Kraf Batu Lunguyan Sook Berhad, Keningau kerana memberikan kerjasama menjayakan program itu.



“Terima kasih juga kepada Datuk Ewon Benedick selaku Adun Kadamaian merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi kerana memberikan kepercayaan kepada Pusat Khidmat Adun Kadamaian menyelaraskan program ini khasnya menyediakan tempat dan kemudahan selesa kepada para peserta,” katanya.

Comments


bottom of page