- Wartawan Nabalu News
258 KES POSITIF BAHARU COVID DI SABAH HARI INI

28 Jun 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah hari ini sebanyak 258 kes, menjadikan jumlah kumulatif 69,025 kes dan tiada kes kematian.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daerah Kota Kinabalu, Kudat dan Keningau mencatatkan peningkatan kes positif hari ini disumbangkan kluster-kluster sedia ada.
“Sebanyak 71 kes dicatatkan di Kota Kinabalu pada hari ini, daripada jumlah itu 30 kes adalah daripada Saringan Kluster Sedia Ada iaitu Kluster Tembok Kota Kinabalu (Penjara Kepayan) sebanyak 27 kes, Kluster Samedra dua kes dan Kluster Jalan Bundusan satu kes.
“Selain itu, turut menyumbang kepada peningkatan kes di Kota Kinabalu ialah 18 kes berpunca dari Saringan Bersasar, 12 kes dari Saringan Kontak Rapat dan 11 kes berpunca dari Pelbagai Saringan,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, daerah Kudat pula mencatatkan 36 kes dan daripada jumlah itu 19 kes berpunca dari Saringan Kontak Rapat, 16 kes dari Saringan Bersasar dan satu kes dari Saringan Bergejala.
“Manakala bagi Keningau yang mencatatkan 23 kes pada hari ini keseluruhannya berpunca daripada Saringan Kluster Kuarters Bata Durok, iaitu kluster yang berpunca dari kilang bata di Keningau.
Beliau berkata, daripada 258 kes jangkitan baharu hari ini, 93 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 99 kes adalah daripada saringan kluster, 16 kes adalah daripada saringan bergejala, 36 kes daripada saringan bersasar dan 14 kes adalah daripada lain-lain kes.
“Pada hari ini, lapan daerah mencatatkan sifar kes Beluran, Telupid, Kunak, Tongod, Ranau, Tuaran, Sipitang dan Nabawan,” katanya.
Mengenai jumlah pesakit Covid-19 discaj dari hospital / sembuh, beliau berkata, seramai 169 pesakit sembuh menjadikan jumlah kumulatif 66,850 orang.
“Seramai 1,539 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 440 orang di hospital, 983 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam manakala 116 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara.
“Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 67 orang dan 18 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.