291 KES BAHARU COVID-19 DI SABAH HARI INI291 KES BAHARU COVID-19 DI SABAH HARI INI
top of page
  • nabalunews

291 KES BAHARU COVID-19 DI SABAH HARI INI


Tan Sri Dr.Noor Hisham Abdullah

12 OKTOBER 2020


OLEH WARTAWAN NABALU NEWS

KOTA KINABALU: Sebanyak 291 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan di Sabah daripada sejumlah 563 kes baharu seluruh negara, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 16,220 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 5,039 kes.

Beliau berkata, secara keseluruhannya Sabah masih mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 51.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes baharu hari ini.

“Ini susulan aktiviti saringan yang terus dijalankan di lapangan, terutama di pelbagai daerah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dan PKPD secara pentadbiran,” katanya.

Noor Hisham berkata, Sabah juga mencatatkan kes kematian beberapa hari kebelakangan ini.

“Bagi menangani isu peningkatan bilangan kes Covid-19 dan kes kematian di Sabah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama agensi lain telah menambah kapasiti katil di hospital-hospital setempat iaitu, 978 katil hospital dan 4010 katil Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (kadar penggunaan katil adalah 32 peratus) sehingga hari ini.

“Selain itu, pembinaan hospital medan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Semporna, mempergiatkan pengesanan kontak rapat, mengasingkan kes positif Covid-19, memberi rawatan awal serta menambah jumlah ventilator dan pakar bius di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya.

Beliau berkata, susulan perluasan saringan Covid-19 di Sabah, terdapat peningkatan beban makmal bagi pemprosesan sampel ujian saringan.

“Oleh itu, KKM telah menambah kapasiti makmal di seluruh Sabah, selain bekerjasama dengan makmal swasta dan membawa sebanyak 2,223 sampel yang berlebihan ke makmal di Semenanjung Malaysia untuk diproses.

“KKM juga ingin memaklumkan mengenai stok Personal Protective Equipment (PPE) di Sabah adalah dalam kesiapsiagaan yang mampan seperti yang telah dirancang oleh agensi pusat, KKM dan juga Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.

“KKM akan memastikan pengagihan kepada pihak memerlukan akan dilakukan secepat mungkin,” katanya.

Noor Hisham turut memaklumkan bahawa terdapat petugas kesihatan di Sabah dijangkiti Covid-19 yang perlu dikuarantin.

“Oleh itu, KKM telah menggerakkan petugas kesihatan secara dalaman dan dari negeri-negeri lain ke Sabah bagi menangani isu kekurangan petugas kesihatan di hospital-hospital setempat.

“Selain itu, KKM juga menyeru penglibatan badan-badan bukan kerajaan untuk tampil menghulurkan bantuan ke Sabah bagi membendung penularan COVID-19 di negeri ini,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page