3 maut, 10 cedera kemalangan di Jalan Felda Sahabat, Lahad Datu
7 Oktober 2024
LAHAD DATU: 3 termasuk seorang kanak-kanak maut manakala 10 lagi cedera termasuk dua parah dalam kemalangan membabitkan 2 kereta dan sebuah motosikal di Jalan Felda Sahabat, Lahad Datu, petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 6.19 petang.
Katanya sepasukan 10 pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Lahad Datu dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 77 kilometer dari balai.
"Kemalangan melibatkan 2 buah kenderaan jenis Nissan Navara dan Proton Saga Aeroback serta sebuah motosikal yang bertembung.
"Terdapat 13 orang mangsa terlibat. 4 orang mangsa di kenderaan Proton Saga Aeroback telah di keluarkan oleh orang awam di mana 2 orang cedera parah dan di hantar ke Klinik Kesihatan Tungku oleh pihak ambulans bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.
"Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Seorang lagi mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Tungku berdasarkan maklumat dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Sumsoa, seorang penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Manakala seramai 8 orang mangsa di kenderaan Nissan Frontier mengalami kecederaan ringan dan di hantar ke Klinik Kesihatan Tungku oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
"Tindakan pasukan bomba membuat pemeriksaan memastikan tiada bahaya lain wujud sebelum operasi bomba ditamatkan jam 10.06 malam," katanya.
Kommentare