325 Atlet Mula Bertanding, Kejohanan Sepak Takraw MSSS 2026 Rasmi Bermula di Kota Belud
- nabalunews
- 5 hours ago
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
KOTA BELUD, 30 Julai – Kejohanan Sepak Takraw Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSSS) 2026 secara rasmi dibuka hari ini di Kompleks Sukan Botung, Kota Belud, dengan penyertaan seramai 325 atlet daripada 23 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negeri.
Kejohanan empat hari yang berlangsung sehingga 2 Ogos itu disempurnakan perasmiannya oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian, Ukoh@Jeremy Malajad, selaku wakil Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick.
Kejohanan edisi kali ini diadakan di dua venue berasingan mengikut kategori umur. Kategori Bawah 15 Tahun dan Bawah 18 Tahun berlangsung di Kompleks Sukan Botung, manakala kategori Bawah 12 Tahun diadakan di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hwa, Kota Belud.
Dalam teks ucapan yang dibacakan, Ukoh menegaskan bahawa sepak takraw bukan sekadar permainan warisan, tetapi merupakan wadah efektif untuk membentuk disiplin, ketahanan mental, kepimpinan serta semangat berpasukan dalam kalangan pelajar.
Beliau turut mengingatkan semua atlet agar bertanding dengan semangat kesukanan yang tinggi, menghormati lawan dan pegawai, serta mempamerkan mutu permainan terbaik sepanjang kejohanan.
"Saya berharap kejohanan ini mampu melahirkan wakil Sabah yang bukan sahaja beraksi di peringkat Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), malah mampu mengharumkan nama negeri di pentas antarabangsa," katanya.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Dr. Japran Hj. Kusin, dalam ucapan alu-aluannya menegaskan bahawa penganjuran program sebegini selaras dengan hasrat kerajaan negeri dalam memperkasa sukan sepak takraw di peringkat akar umbi.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dalam menjayakan kejohanan ini, termasuk para pengetua dan guru besar, pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, pegawai Pejabat Pendidikan Daerah, wakil jabatan dan agensi kerajaan serta swasta, pegawai teknikal, barisan pengadil, pegawai kontinjen, pengurus pasukan, jurulatih, sukarelawan, dan barisan atlet.
Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Ketua Penolong Pengarah Unit Pengurusan Bakat Murid Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datu Asrah Datok Ambas, serta Pengerusi Teknik Pembangunan Sukan Sepak Takraw Negeri Sabah, Nasri Lakum. Kehadiran barisan kepimpinan ini menunjukkan komitmen padu semua agensi dalam memajukan bakat sukan pelajar di negeri ini.
Kejohanan ini diharap dapat melahirkan lebih ramai atlet berkualiti yang bukan sahaja mengharumkan nama daerah, malah mampu membawa cabaran ke pentas nasional demi kegemilangan sukan sepak takraw negeri Sabah.











