350 Petani Sertai Kursus Penanaman Bawang Anjuran MARDI
- nabalunews
- 1 day ago
- 2 min read

28 Mei 2025
KENINGAU: Seramai 350 peserta di daerah ini telah menyertai Kursus Teknologi Penanaman Bawang anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Kursus itu meliputi pelbagai topik penting seperti pengadaptasian varieti mengikut agroklimat negara, penanaman secara skala besar dan pengurusan perosak dan penyakit, cara pengendalian hasil lepas tuai, serta kajian risikan pasaran domestik dan antarabangsa.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, kursus ini dirancang sebagai platform pendedahan awal kepada penduduk tempatan mengenai potensi ekonomi dalam penanaman bawang merah.

“Para peserta turut diberi pendedahan aktiviti amali penanaman bawang merah bagi membolehkan mereka memahami teknik penanaman secara praktikal.
“Usaha-usaha yang sedang dijalankan ini merupakan bukti nyata komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan keterjaminan makanan negara.
“Ia bukan saja menjurus kepada pembangunan pertanian yang mampan, tetapi juga membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti luar bandar, khususnya di Sabah dan kawasan-kawasan berpotensi tinggi yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian kursus itu yang diadakan di Dewan Masyarakat Pekan Sook baru-baru ini.
Turut hadir Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani.
Kursus itu turut menampilkan sesi perkongsian pengalaman Shahrizal Denci, yang merupakan peserta Projek Khas MADANI yang bertujuan menggiatkan pengeluaran benih bawang merah tempatan secara berskala komersial.
Di bawah projek ini, beliau telah memulakan usaha penanaman bawang di kawasan seluas empat hektar di Kundasang, dengan menggunakan varieti MARDI BAW-2, yang terbukti sangat serasi dengan keadaan iklim dan tanah di kawasan tersebut.
Penanaman pertama beliau bermula pada Februari 2024, dengan pengeluaran awal sebanyak 4 tan daripada kawasan seluas hanya 0.5 ekar. Melihat kejayaan tersebut, beliau telah memperluaskan kawasan penanaman dan telah berjaya menghantar sebanyak 7 tan varieti BAW-2 ke Semenanjung untuk ditanam negeri Kelantan, sebagai langkah awal ke arah peluasan penanaman di sana.
Arthur menambah, MARDI kini sedang giat untuk mempercepatkan proses pengkomersialan dan pengedaran benih bawang dengan memperbanyak bahan tanaman bagi tujuan agihan kepada agensi-agensi pengembangan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan petani-petani yang terlibat dalam penanaman bawang merah.
“Sehubungan itu, seramai 15 usahawan benih bawang merah MARDI telah dilantik di seluruh negara bagi menjayakan pengeluaran awal benih – termasuk dua orang usahawan dari negeri Sabah.
“Selain Shahrizal, dua lagi petani di Sabah sedang dibangunkan di bawah projek perintis MARDI ini. Setiap petani dijangka mampu menghasilkan antara 1 hingga 2 metrik tan setiap musim, dan jumlah ini akan meningkat apabila teknologi dan amalan terbaik diterapkan secara meluas" jelasnya.
Comentarios