36 kluster aktif di Sabah termasuk dua kluster baharu
top of page
  • Wartawan Nabalu News

36 kluster aktif di Sabah termasuk dua kluster baharu



11 Feb 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Dua lagi kluster baharu direkodkan hari ini jenis komuniti di Nabawan dan institusi pendidikan di SMKA Tun Said Kota Belud.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Loboh Nabawan dikesan pada 01 Februari lalu, kini menokok lapan kes baharu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 17 kes positif Covid-19 selepas saringan terhadap 35 individu.


“Kluster jenis komuniti ini melibatkan majlis penghormatan terakhir pengebumian di Kg Loboh dalam daerah Nabawan.


“Kes indeks merupakan wanita tempatan, 59, yang disahkan positif RTK AG pada 08 Februari 2022 di Klinik Kesihatan Nabawan, selepas bergejala (demam, batuk, selesema, sakit kepala dan sakit tekak) sejak 06 Februari 2022.


“Kes indeks juga telah dikuarantin serta diberikan rawatan lanjut. Saringan turut dijalankan terhadap ahli keluarga, kontak rapat dan kontak kasual dan mengenalpasti 16 lagi kes positif. Semua kes positif telah dikuarantin dan diberikan rawatan sesuai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Masidi berkata, Kluster Pengkalan Abai - Kota Belud pula merupakan kluster jenis institusi pendidikan dengan jumlah kumulatif sebanyak 39 kes positif Covid-19, termasuk 33 kes baharu yang dilaporkan hari ini.


Katanya, kluster itu melibatkan asrama perempuan SMKA Tun Said dan keluarga guru.


“Kes indeks merupakan pelajar perempuan, 18, yang dikesan positif melalui saringan bergejala pada 07 Februari 2022. Susulan kes tersebut, saringan kontak rapat dijalankan ke atas 106 orang terdiri daripada guru, rakan sebilik dan rakan sekelas.


“Semua kes telah diasingkan dan diberikan rawatan selanjutnya. Manakala, kontak rapat tidak bergejala juga telah diberikan perintah kuarantin,” katanya.


Masidi berkata, jumlah kluster aktif di seluruh Sabah setakat ini ialah 36 kluster termasuk dua kluster baharu yang diisytiharkan hari ini.


“Sebanyak 26 daripada kluster-kluster ini adalah kluster melibatkan institusi pendidikan, enam Kluster Tempat Kerja, dua Kluster Komuniti dan masing-masing satu kluster untuk Kluster Keagamaan dan Kluster Berisiko Tinggi.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page