37,971 OKU berdaftar JKM Sabah37,971 OKU berdaftar JKM Sabah
top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

37,971 OKU berdaftar JKM Sabah


Gambar Hiasan

30 Sept 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Seramai 37,971 Orang Kurang Upaya (OKU) berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sabah setakat ini.


Daripada jumlah itu 15,997 orang adalah OKU dari segi pembelajaran, 10,458 OKU fizikal, 3,257 OKU penglihatan, 2,910 OKU mental, 2,761 OKU pendengaran, 318 OKU pertuturan dan selebihnya OKU dengan pelbagai masalah.


Sabah juga merupakan negeri kelima tertinggi jumlah OKU berdaftar dengan JKM.


Secara keseluruhannya sehingga 31 Januari lalu sebanyak 592,854 OKU berdaftar di seluruh Malaysia.


Demikian dinyatakan dalam Program Hiper Sabah: Bual Bicara Peranan Pertubuhan Di Dalam Membantu Golongan OKU Mendepani Cabaran Covid-19, melalui aplikasi Zoom, hari ini anjuran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) Negeri Sabah.


Program itu disertai 12 persatuan dan kelab persatuan OKU di negeri ini.


Antara persatuan itu ialah Persatuan Kebajikan Pelajar Miskin dan Kurang Upaya Kota Kinabalu, Persatuan Kebajikan OKU Parkinson Pantai Barat Sabah, Persatuan Kebajikan Warga Tua dan Kurang Upaya Kota Kinabalu, Kelab Kesihatan dan Kecergasan OKU Sabah, Kelab Cekal Orang Kurang Upaya Ranau.


Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Miskin dan Kurang Upaya Sabah, Persatuan Komuniti Orang Kurang Upaya Daerah Ranau, Kelab Usahawan OKU Sabah, Persatuan Pengurusan Pusat Jagaan OKU Leshan Kota Kinabalu, Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil OKU Sabah, Persatuan Usahawan OKU Daerah Tuaran dan Kelab Interaksi Orang-Orang Cacat Penglihatan Negeri Sabah.


Ketika berucap pada program itu Pengarah JPPM Sabah Yuniezah Marlya Yunos berkata, program bual bicara itu merupakan platform perbincangan dan percambahan idea bagi wakil-wakil persatuan dalam peranannya membantu golongan OKU mendepani pandemik Covid-19.


“Selain itu, ia juga sebagai platfom penyebaran maklumat mengenai inisiatif khas kerajaan khusus untuk golongan ini,” katanya.


Katanya lagi, program ini merupakan antara inisiatif dalam pelaksanaan program Himpunan Sinergi Pertubuhan Kebangsaan (HiPER) 2021 dan program #ros_care yang turut melibatkan pihak persatuan serta golongan yang memerlukan.


Antara fokus utama penganjuran program ini ialah untuk mempertingkatkan kaedah penyampaian kepada golongan OKU bagi merapatkan jurang komunikasi dalam komuniti, memberi pendedahan kepada golongan OKU mengenai kepentingan berpersatuan dan memperkasa peranan persatuan dalam membantu golongan OKU.

bottom of page