38 MANGSA BANJIR DI PPS TAMPARULI DIBENARKAN BALIK38 MANGSA BANJIR DI PPS TAMPARULI DIBENARKAN BALIK
top of page
  • Wartawan Nabalu News

38 MANGSA BANJIR DI PPS TAMPARULI DIBENARKAN BALIK


20 Jan 2021


TAMPARULI: Seramai 38 mangsa banjir dari sembilan keluarga yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Tun Hamdan Tamparuli hari ini kembali ke rumah masing-masing.


Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kecil Tamparuli, Siti Faizah Asli berkata, kesemua mereka dari Kampung Damit, Kampung Bundung dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) Sungai Damit ditempatkan di dewan tersebut sejak 17 Januari lalu.


"Setelah berada di sini selama empat hari sejak Ahad lepas, mereka akhirnya dihantar pulang hari ini (Rabu) selepas makan tengahari," katanya, ketika ditemui di Dewan Tun Hamdan, di sini, hari ini.


Siti Faizah berkata, daripada jumlah tersebut dua daripadanya adalah bayi, 7 kanak-kanak perempuan, 14 kanak-kanak lelaki, 11 wanita dewasa dan 4 lelaki dewasa.


Sebelum dihantar balik, setiap ketua keluarga masing-masing menerima bantuan bakul makanan yang disampaikan oleh Ketua Pergerakan Wanita Parti Bersatu Sabah, Datin Malianah Ugau.



Dalam ucapan singkat, Malianah menghargai usaha kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Daerah Tuaran, Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, RELA, JPAM Tuaran, ATM, Polis Diraja Malaysia serta agensi lain termasuklah NGO yang terlibat membantu dari proses pemindahan, mengagih bantuan sehinggalah proses menghantar mereka pulang ke rumah masing-masing.


"Walaupun mungkin di sini tidaklah terlalu selesa seperti di rumah tetapi sekurang-kurangnya ada tempat untuk anda semua berlindung, terjaga dan terhindar daripada malapetaka yang tidak diingini.


"Sekiranya terdapat sebarang kerosakan pada rumah atau kawasan tempat tinggal yang memerlukan perhatian, anda boleh mengubungi Pengerusi JPKK masing-masing," katanya.


Antara yang turut membantu ialah ahli jawatankuasa Puspanita Daerah Tuaran dan Pergerakan Wanita PBS Tamparuli.


Turut hadir Pegawai Daerah Tuaran, Sadan Hussain, Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Jilias Lintar, dan Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Daerah Kecil Tamparuli Ustaz Suffian Kundu.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page