39,562 BUAH KENDERAAN DIPERIKSA DI SELURUH SABAH, 74 DIARAH PATAH BALIK

29 Jan 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Sebanyak 63 sekatan jalan raya (SJR) telah dilaksana melibatkan pemeriksaan 39,562 buah kenderaan dalam tempoh 24 jam, kelmarin,
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daripada jumlah itu, 74 buah kenderaan diarah berpatah balik.
“Tiada tangkapan dibuat namun, 38 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
“PDRM juga telah melaksanakan 57 hebahan melalui kereta peronda,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, kelmarin.
Masidi berkata, penguatkuasaan SOP turut dijalankan di perairan laut Sabah oleh Pasukan Polis Marin melibatkan 22 pemeriksaan di kawasan Pantai Timur dan 10 pemeriksaan di perairan Kota Kinabalu dan Labuan.
Katanya lagi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah pula telah melaksanakan sanitasi awam melibatkan lapan premis, di enam daerah iaitu Kota Kinabalu, Keningau, Lahad Datu, Sandakan, Semporna dan Kinabatangan.
“Hebahan umum Info On Wheels Jabatan Penerangan Malaysia Sabah mengenai pematuhan SOP, amalkan 3W, elakkan 3C dan pembudayaan norma baharu telah dilaksanakan di 117 lokasi di 17 daerah dengan hebahan dibuat dalam Bahasa Melayu,” katanya.
Comments