top of page
Wartawan Nabalu News

4 resolusi Presiden UPKO ditangani Kerajaan Negeri Sabah - Ewon

9 Sept 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sebanyak empat resolusi Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) telah dibawa ke perhatian Kerajaan Negeri Sabah melalui sidang Dewan Undangan Negeri dan perbincangan dengan pimpinan Kerajaan Negeri.


Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick berkata, resolusi tersebut merupakan susulan daripada resolusi terdahulu yang telah diputuskan dalam konvensyen parti itu sebelum ini.


Beliau berkata, semua resolusi dalam kongres dan konvensyen Parti yang lepas akan terus menjadi perjuangan berterusan dan perlu kekal sebagai resolusi tetap tanpa perlu diulang-bentang dalam setiap konvensyen kita.


“Ini termasuklah syor kita kepada Kerajaan Negeri Sabah untuk meminda Ordinan Pentadbiran Luar Bandar Sabah bagi memastikan kuasa dan tadbir urus Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) terus kekal pada Kerajaan Negeri dan tidak harus ada keperluan mengujudkan JKKK Persekutuan.


“Kita juga mengesyorkan agar kategori Hutan Simpan Komuniti diwujudkan sebagai salah satu klasifikasi perhutanan bagi mengurangkan konflik tuntutan kawasan Tanah Adat dalam kawasan Jabatan Perhutanan atau konsesi syarikat dan agensi berkaitan kerajaan.


“Ini membolehkan kawasan Tanah Adat yang dituntut diberikan semula kepada komuniti Orang Asal untuk dibangunkan sebagai Hutan Simpan Komuniti, seterusnya boleh menjana pendapatan komuniti melalui aktiviti berasaskan pelancongan atau carbon trading.


“Di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada masa yang lepas, saya pernah mencadangkan Akaun Amanah Khas ditubuhkan untuk menerima peruntukan pembangunan Kerajaan Persekutuan. Perjuangan ini dikongsi dengan Kerajaan Negeri Sabah yang telah membentangkan pindaan Enakmen Akaun Amanah pada sidang DUN bulan lepas yang kemudiannya telah diluluskan,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar semasa Konvensyen Nasional UPKO di Dewan Masyarakat Menggatal, di sini, hari ini.


Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia turut menyatakan Kerajaan Negeri Sabah telah bersetuju dengan syor beliau agar diwujudkan jawatankuasa bersama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan mengenai penyelarasan pembangunan keusahawanan di Sabah.


Menurut beliau, mesyuarat pertama jawatankuasa tersebut akan diadakan selepas pembentangan Belanjawan 2024.

Comments


bottom of page