top of page

ESSCOM Gempur Stor Simpanan Rokok Tanpa Cukai dan Mercun

  • nabalunews
  • 10 minutes ago
  • 2 min read

14 Mac 2026


KINABATANGAN: Pasukan keselamatan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) berjaya menggempur sebuah stor simpanan rokok tanpa cukai dan mercun dalam satu operasi khas di Kampung Paris II, di sini, 11 Mac lalu.


Dalam serbuan itu, pasukan operasi berjaya merampas 4,486 karton rokok kretek dan rokok putih pelbagai jenama serta 143 karton mercun pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai kira-kira RM850,000 selepas cukai.


Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, operasi berkenaan dilaksanakan hasil maklumat awam berkaitan aktiviti penyeludupan rokok di kawasan berkenaan.

Katanya, pasukan operasi melaksanakan serbuan mengejut di tiga premis tidak bernombor yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan barangan kontraban.


“Antara jenama rokok yang dirampas termasuk Astro Merah, Neslite, Astro Fuze, Era Biru, L.A Bold, Nice, Extreme Mild, A Satu Premium dan Tembakau Salak.


“Semua barangan yang disembunyikan dalam kotak dan plastik itu dipercayai melanggar peruntukan mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, semua rokok kretek, rokok putih serta mercun yang dirampas telah diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan Akta Kastam 1967.


Sehubungan itu, Victor menegaskan, pihak ESSCOM akan terus memperhebat operasi khas bagi menjejak anasir asing serta mengekang sebarang elemen yang boleh mengganggu keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan awam khususnya di kawasan Sabah Timur.


Katanya, ESSCOM akan mempergiat koordinasi operasi bersama pasukan keselamatan lain bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan seperti rompakan laut dan penyeludupan kontraban melalui operasi bersepadu di kawasan daratan serta perairan ESS Zone.


“Operasi ini mencerminkan komitmen berterusan ESSCOM dalam membanteras serta mengurangkan aktiviti Jenayah Rentas Sempadan di kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone),” katanya.


Sehubungan itu, Victor berkata, orang awam digalakkan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada Pusat Operasi ESSCOM melalui talian 089-863181 atau aplikasi WhatsApp di talian 011-63311072 bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan di ESS Zone terus terpelihara.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page