• Wartawan Nabalu News

408 kes baharu di Sabah babitkan individu lengkap vaksin


4 November 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sebanyak 408 kes daripada 655 kes baharu positif Covid-19 hari ini di Sabah adalah individu lengkap dua dos vaksin.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, sebanyak 158 kes pula belum layak menerima vaksin berumur bawah 12 tahun, belum menerima vaksin (85 kes) dan empat kes adalah individu menerima satu dos vaksin.


“Dari segi kategori umur, empat kes berumur kurang satu tahun, satu hingga lima tahun (78 kes), enam hingga 11 tahun (76 kes), 12 hingga 17 tahun (22 kes).


“Individu berumur antara 18 hingga 25 tahun sebanyak 82 kes, 60 tahun ke atas (55 kes) dan kes tertinggi adalah kategori 26 hingga 59 tahun iaitu 338 kes,” katanya dalam kenyataan media hari ini.


Masidi berkata, kebanyakan kes pada hari ini adalah kes tempatan dan hanya dua kes jangkitan luar Sabah iaitu dari Pahang dan Selangor.