42 kampung terpilih kampung angkat MADANI, libat peruntukan RM100 juta
13 Ogos 2024
KOTA BELUD: Kampung Kiau Teburi di sini terpilih sebagai Kampung Angkat Madani.
Kampung Angkat Madani adalah inisiatif Perdana Menteri menerusi Belanjawan 2024 untuk meningkatkan capaian kemudahan asas secara holistik menerusi pendekatan ‘Whole of Government’.
Dilancarkan Julai lalu, sebanyak 42 kampung di seluruh negara terpilih sebagai Kampung Angkat Madani membabitkan peruntukan RM100 juta.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata program kampung angkat merupakan antara kaedah bagi memudahcara dan mempercepat pelaksanaan projek kecil di kampung.
“Kriteria pemilihan kampung adalah kampung yang mempunyai liputan kemudahan bawah 50 peratus atau mempunyai kemudahan asas daif dan tidak lengkap serta memerlukan perhatian khusus.
“Setiap kampung menerima agihan peruntukan maksimum sehingga RM2.5 juta. Sehingga 10 Julai lalu, Kementerian Kewangan salurkan RM86.3 juta kepada agensi terlibat meliputi 35 kampung,” katanya.
Amir Hamzah menambah, terdapat dua jenis penumpuan yang diberikan kepada Kampung Angkat Madani iaitu berbentuk fizikal dan bukan fizikal.
Jelasnya, projek fizikal membabitkan penambahbaikan jalan kampung, lampu jalan, bekalan air, capaian Internet, membaiki jambatan atau titi dan sebagainya.
“Manakala projek bukan fizikal pula adalah seperti bantuan pengesahan di kawasan setempat seperti pendaftaran program bantuan, perkhidmatan saringan kesihatan dan program bimbingan,” katanya.
Terdapat 1,077 penduduk di Kampung Kiau Teburi.
Ketika ini Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kiau Teburi ialah, Stephen Sindeh manakala Ketua Kampung adalah Sinti Darasun.
Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) adalah Saikom Watis dan Pemaju Mukim, Nicklos Kasimin.
Sepertimana kampung di Sabah, Kampung Kiau Teburi hidup rukun, aman damai dalam suasana harmoni dan penuh muafakat.
6 Julai lalu, Program Kampung Angkat MADANI 2024 Peringkat Kebangsaan dilancarkan di Kampung Chengal Lempong, Kuantan, Pahang.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata kewujudan Kampung Angkat MADANI ini adalah bagi menoktahkan masalah kemiskinan selain memastikan kemudahan serta prasarana asas di kawasan desa dapat dilengkapkan.
Kerajaan MADANI, kata beliau, tidak menafikan peranan setiap wakil rakyat atau ketua kampung bagi membantu masyarakat sebaliknya ia memerlukan penglibatan pelbagai pihak bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan projek serta mencapai objektif yang disasarkan.
Comments