top of page

Warga emas ditemukan mati selepas menjala ikan di Sungai Kadamaian

nabalunews
4 hours ago
1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


13 Oktober 2026


KOTA BELUD — Seorang warga emas yang keluar menjala ikan di Sungai Kadamaian, Kampung Rajunah, di sini, petang semalam, ditemukan meninggal dunia di tepi sungai di Kampung Bokilong, kira-kira 1.5 kilometer dari rumahnya, pada 6.39 pagi tadi.


Mangsa dikenali sebagai Togoi Tawan, 70. Dia dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah sejak keluar kira-kira 4.40 petang dengan membawa jala menuju ke sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari kediamannya.



Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Khairul Shah Peri berkata, ahli keluarga mula bimbang apabila mangsa tidak pulang sehingga 9 malam sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak polis.


“Ketika kejadian, cuaca dilaporkan hujan menyebabkan paras air sungai meningkat dan arus menjadi deras. Operasi pencarian dilakukan bersama pihak Bomba, namun ditangguhkan pada sebelah malam berikutan keadaan gelap,” katanya.



Menurut beliau, mangsa ditemukan selepas polis menerima maklumat daripada orang awam sebelum kematiannya disahkan oleh pegawai perubatan.

Jasad mangsa telah dihantar ke Hospital Kota Belud dan bedah siasat akan dijalankan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, bagi mengenal pasti punca kematian. Kes diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR).


Pihak Polis Daerah Kota Belud merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati serta tidak melakukan aktiviti di kawasan sungai terutama ketika cuaca tidak menentu dan paras air meningkat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page