top of page

Junik Sokong Hak 40 Peratus Hasil Sabah, Tambah Kerusi Parlimen

nabalunews
4 hours ago
2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


13 Oktober 2026


TENOM – Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) merangkap Ketua Bahagian UPKO Tenom, Junik Bajit, menyatakan sokongan terhadap isu hak 40 peratus hasil Sabah serta penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak yang dibangkitkan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, dalam perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 12 Oktober 2026.


Menurut Junik, cadangan itu wajar diberi perhatian serius kerana melibatkan pelaksanaan hak Sabah berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan memperkukuh kedudukan serta kepentingan rakyat Sabah di peringkat Persekutuan.


Beliau menyokong cadangan Ewon supaya pembayaran interim berdasarkan 40 peratus kutipan hasil yang dikutip di Sabah melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dilaksanakan tanpa perlu menunggu keseluruhan rundingan bagi tuntutan tahun-tahun terdahulu selesai.


“Pelaksanaan pembayaran interim ini boleh menjadi langkah awal ke arah merealisasikan hak 40 peratus Sabah, tanpa menjejaskan rundingan berhubung jumlah dan tuntutan bagi tahun-tahun sebelumnya yang masih belum dimuktamadkan,” katanya.


Menurutnya, pendekatan itu membolehkan pembayaran bagi tahun semasa dan tahun-tahun berikutnya dipertimbangkan berdasarkan data kutipan hasil yang tersedia, sementara rundingan mengenai baki tuntutan terdahulu diteruskan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sabah. Beliau menegaskan pembayaran interim perlu difahami sebagai langkah sementara dan tidak seharusnya dianggap sebagai penyelesaian muktamad.


Junik berkata, pelaksanaan hak berkenaan penting bagi memperkukuh kedudukan kewangan negeri, khususnya dalam menyokong pembangunan infrastruktur, meningkatkan kemudahan asas serta memperbaiki sosioekonomi rakyat di kawasan bandar dan luar bandar.


Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyokong cadangan Ewon supaya reformasi perlembagaan dan penambahan kerusi Parlimen mengambil kira prinsip perwakilan sekurang-kurangnya satu pertiga bagi Sabah dan Sarawak.


Katanya, sudah tiba masanya kajian serta proses persempadanan semula kawasan pilihan raya dilaksanakan dengan mengambil kira kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah yang bersama-sama membentuk Malaysia, selaras dengan semangat MA63.


“Perwakilan yang mencukupi penting supaya kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak dapat disuarakan dengan lebih berkesan, khususnya dalam perkara berkaitan pembangunan, kemudahan asas, ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.


Beliau berkata, penambahan kerusi Parlimen bukan sekadar berkaitan jumlah wakil rakyat, sebaliknya turut melibatkan kepentingan suara rakyat Sabah dan Sarawak dalam proses membuat keputusan di peringkat Persekutuan. Kajian berhubung penambahan kerusi dan persempadanan kawasan pilihan raya perlu dimulakan serta dilaksanakan secara teratur melalui proses perundangan dan perlembagaan yang berkaitan.


Junik berharap isu tersebut diberi perhatian sewajarnya oleh Kerajaan Persekutuan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan semua pihak berkepentingan agar mekanisme pelaksanaannya dapat diperincikan demi kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak.


Beliau menegaskan, pelaksanaan hak hasil Sabah dan pengukuhan perwakilan Parlimen merupakan dua perkara penting yang perlu terus dibincangkan secara konstruktif, dengan matlamat memastikan kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak terpelihara serta pembangunan kedua-dua wilayah terus diperkasakan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page