Madius desak hak 40 peratus Sabah dilaksana mulai 2027

KUALA LUMPUR, 13 Okt - Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mendesak Kerajaan Persekutuan melaksanakan pemberian khas 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari Sabah secara tahunan mulai 2027, selain menyediakan penyelesaian jelas bagi tunggakan terdahulu.
Beliau berkata pemberian khas interim RM1.5 bilion yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 dan dijadualkan dilunaskan sebelum penghujung tahun ini merupakan perkembangan yang dihargai, namun ia bukan pembayaran muktamad hak 40 peratus atau penyelesaian tunggakan terdahulu.
“Kerajaan Persekutuan sudah memperakui Hak 40 peratus tersebut, oleh itu laksanakan hak 40 peratus secara tahunan mulai 2027,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Madius berkata hak pemberian khas itu berasaskan Perkara 112C, Perkara 112D dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan mendedahkan jumlah hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari Sabah bagi setiap tahun dari 1971 hingga 2026, termasuk mengambil kira kegiatan syarikat yang beroperasi di Sabah tetapi cukainya direkodkan di Semenanjung atau Sarawak.
Beliau turut mencadangkan penubuhan mekanisme bersama Kerajaan Persekutuan dan Sabah yang mempunyai akses kepada data hasil, kaedah pengiraan telus serta jadual pembayaran tahunan.
Selain itu, Madius mencadangkan supaya Ketua Audit Negara menjalankan pengauditan terhadap pemberian khas berkenaan, termasuk bagi tempoh 1971 hingga 2026.
“Pembayaran mulai 2027 mesti diasingkan daripada tunggakan terdahulu. Tunggakan pula memerlukan kaedah penyelesaian dan jadual pembayaran yang jelas,” katanya.
Beliau turut menegaskan peruntukan pembangunan Persekutuan untuk Sabah tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengetepikan hak 40 peratus kerana kedua-duanya mempunyai asas dan tujuan yang berbeza.















Comments