436 fasiliti kesihatan, 20 medan selera akan dinaik taraf - PM Anwar
top of page
  • Wartawan Nabalu News

436 fasiliti kesihatan, 20 medan selera akan dinaik taraf - PM


4 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan sedang mengambil langkah segera untuk menambah baik 436 fasiliti dan klinik kesihatan serta 20 medan selera di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.


Beliau berkata ini adalah sebahagian daripada usaha Majlis Tindakan Malaysia Madani (MTMM) untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan kualiti penyampaian perkhidmatan awam.


Beliau juga berkata kaedah penambah baikan yang diguna pakai oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan dilaksanakan untuk menaik taraf 20 medan selera di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) terpilih.


“MTMM telah memberi tumpuan kepada dua projek baharu Bitara MADANI iaitu usaha menaik taraf fasiliti daif di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) dan memperluas pelaksanaan Gerai MADANI.


"Tindakan penambahbaikan akan mengubah penampilan dan kemudahan agar lebih bersih dan indah demi keselesaan rakyat," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau kelmarin.


Selain itu, beliau berkata Majlis Tindakan Malaysia Madani bersetuju agar Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (Star) melaksana dan memperluas Projek Bitara Madani dengan segera termasuk memberi fokus kepada penyelesaian terhadap kesulitan dan masalah dihadapi rakyat.


"Projek-projek Bitara Madani sentiasa mendukung rukun Malaysia Madani dan menggunakan pendekatan 'The Whole of Government' yang mana ketua projek adalah terdiri daripada kalangan pegawai kanan perkhidmatan awam di kementerian atau jabatan yang berbeza dengan kementerian/jabatan yang bertanggungjawab terhadap projek dikenal pasti," katanya.


Beliau menjelaskan bahawa kerajaan komited meningkatkan kualiti, kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam di dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan kemudahan menjalankan perniagaan.


"Dengan tumpuan kepada kos yang rendah, pelaksanaan penyelesaian segera dan penggunaan sumber sedia ada, kesemua projek di bawah Bitara Madani selari dengan anjakan reformasi penyampaian perkhidmatan awam agar lebih cekap, berintegriti dan berkualiti dalam memberi khidmat kepada masyarakat serta berupaya memberi kesan secara langsung kepada rakyat," katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page