top of page
  • Wartawan Nabalu News

47 orang terima sijil lot komuniti di Kg.Sayap, Ewon cadang penubuhan koperasi

9 Mac 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mencadangkan kepada penduduk Kampung Sayap yang menerima Sijil Lot Komuniti kebenaran mengusahakan kebun dalam Taman-Taman Sabah supaya menubuhkan koperasi.


Beliau berkata, penduduk kampung boleh menubuhkan koperasi pelancongan atau pertanian yang amat sesuai dilaksanakan di kampung itu.


“Saya mengalu-alukan usaha yang bakal dilaksanakan penduduk kampung, antaranya menubuhkan koperasi bagi membangunkan kawasan yang terlibat dalam pemberian sijil lot komuniti.


“Kementerian saya melalui agensi-agensi kita mempunyai skim dan program serta pembiayaan yang bersesuaian untuk membantu penduduk kampung merealisasikan hasrat mereka menubuhkan koperasi,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Penyampaian Sijil Lot Komuniti Taman-Taman Sabah, di Dewan Masyarakat Kg.Sayap, di sini, hari ini.


Ewon berkata, secara keseluruhannya seramai 70 penduduk Kampung Sayap menerima 90 lot melibatkan keluasan kawasan lebih 200 ekar.


Daripada jumlah penerima sijil lot, 47 orang adalah penerima tahun ini, manakala selebihnya telah diberikan beberapa tahun lalu.


“Sekembali dari luar negara nanti, saya akan melancarkan satu lagi program kementerian iaitu Rangsangan koperasi pelancongan.


“Sebanyak RM2 juta disediakan oleh kementerian saya melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi menyokong koperasi yang terlibat dalam aktiviti perniagaan pelancongan,” katanya.


Beliau berkata, kebanyakan koperasi pelancongan adalah di Sabah, antaranya di kawasan Kadamaian, Kota Belud.


“Saya berharap penduduk Kampung Sayap merebuat peluang memajukan lagi aktiviti pelancongan di kampung ini melalui penubuhkan koperasi,” katanya.

コメント


bottom of page