• nabalunews

489 KES BAHARU DI SABAH, 629 KES SELURUH NEGARA


16 OKTOBER 2020

Oleh Wartawan Nabalu News

KOTA KINABALU: Sabah terus mencatatkan jumlah kes tertinggi hari ini (16 Oktober) dengan mencatatkan 489 kes baharu iaitu 77.7 peratus daripada jumlah keseluruhan 629 kes baharu Covid-19 di seluruh negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr.Noor Hashim Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 18,758 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 6,323 kes,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, hari ini.

Noor Hashim berkata, secara keseluruhannya, sebanyak 38 kes (enam peratus) hari ini adalah daripada Kluster Tembok, Kluster Penjara Reman dan Kluster Penjara Seberang Perai.

“Ingin dimaklumkan daripada 629 kes baharu yang dilaporkan, terdapat dua kes import mendapat jangkitan dari luar negara yang kesemuanya melibatkan warganegara, 627 kes penularan dalam negara,” katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan kes hari ini, 16 kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, yang menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September adalah sebanyak 437 kes.