top of page

500 Bekas Ahli STAR Sabah Sertai PGRS Tambunan

  • nabalunews
  • 1 day ago
  • 2 min read

TAMBUNAN: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) N.39 Tambunan menerima kemasukan 500 bekas ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang menyertai parti itu secara beramai-ramai tanpa sebarang syarat.


Kemasukan itu melibatkan ahli-ahli dari Mukim Monsorulung yang diketuai oleh Jaibie Joseph serta Mukim Lintuhun yang diketuai Jacly Jamari.


Ketua Bahagian PGRS N.39 Tambunan Datuk Victor P. Paut, berkata, penyertaan beramai-ramai itu membuktikan keyakinan rakyat terhadap perjuangan PGRS dan kepimpinan kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.


Katanya, keputusan untuk menyertai PGRS ketika Pilihan Raya Negeri masih jauh menunjukkan kesungguhan dan keikhlasan para ahli yang mahu bersama-sama memperjuangkan pembangunan serta kesejahteraan rakyat Sabah.


“Ramai yang memilih untuk bersama PGRS bukan kerana mengejar jawatan atau kedudukan, tetapi kerana mereka yakin PGRS merupakan wadah terbaik untuk merealisasikan kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat.


“Keputusan ini adalah satu tindakan yang berani dan tepat kerana mereka melihat sendiri pelbagai usaha pembangunan yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) demi kepentingan rakyat,” katanya.


Menurutnya, pelbagai inisiatif yang diperkenalkan kerajaan negeri telah memberi manfaat kepada rakyat, termasuk pembangunan infrastruktur luar bandar, program pembangunan belia, bantuan keusahawanan, peluang latihan kemahiran serta inisiatif pendidikan untuk generasi muda.


Dalam pada itu, Victor menegaskan, Tambunan perlu terus bergerak maju dan mengejar pembangunan agar setanding dengan daerah-daerah lain di Sabah.


Katanya, daerah Tambunan mempunyai potensi besar khususnya dalam sektor pelancongan, pertanian, kraftangan etnik, kebudayaan serta industri kreatif yang boleh menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat.


“Tambunan memerlukan pembaharuan dan pendekatan yang lebih progresif. Kita perlu keluar daripada kepompong lama dan mengelakkan sentimen politik yang boleh memecah-belahkan masyarakat serta menghalang pembangunan.


“Kita harus memperkukuhkan semangat ‘Misopuru Tokou Mongulud’ sebagai asas perpaduan dan kerjasama demi kemajuan daerah ini,” katanya.


Sementara itu, Victor berkata, komitmen beliau untuk memperjuangkan agenda pembangunan yang memberi tumpuan kepada tiga teras utama, iaitu pembangunan belia melalui program kemahiran, sukan dan keusahawanan serta pembangunan ekonomi bagi menjadikan Tambunan sebagai hab yang berdaya saing dan menarik pelaburan.


Katanya, ia termasuk peningkatan kesejahteraan rakyat melibatkan komuniti setempat, warga emas, ibu tunggal dan golongan orang kurang upaya.


“Selain itu, suara rakyat Tambunan akan terus dibawa ke peringkat kerajaan negeri bagi memastikan daerah tersebut menerima perhatian sewajarnya serta menikmati pembangunan yang seimbang dan mampan.


“Matlamat kita adalah untuk melihat Tambunan menjadi sebuah daerah yang lebih maju, makmur dan mampu berdiri setanding dengan kawasan-kawasan lain di Sabah,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page