56 Anggota Gerak SAR Besar-Besaran Cari Nenek 83 Tahun Hilang Di Kota Belud
- nabalunews
- 6h
- 2 min read

16 Disember 2025
KOTA BELUD: Satu operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersepadu telah dilancarkan pagi tadi bagi mencari seorang warga emas yang dilaporkan hilang sejak semalam.
Mangsa, Minun Kasim (83 tahun), seorang wanita bangsa Dusun yang bermastautin di Kampung Tambulion Laut, Jalan Kem Paradise di sini. Beliau dilaporkan hilang oleh anak kandungnya, Marlin Unggit (43 tahun), pada jam 10.08 malam semalam (15 Disember 2025) setelah disedari tiada di rumah sejak jam 7:30 malam.
Sejurus menerima laporan,Pasukan Pegawai Bertugas (PBT) IPD Kota Belud bersama Ketua Balai (KB) dan Ketua Balai Dinas Kawasan Narkotik dan Antidadah (KDNKA) Kota Belud telah membuat siasatan awal di tempat kejadian pada malam tersebut.
Susulan itu, Pusat Kawalan Operasi (Pusko) SAR telah dibuka di Dewan Kampung Tambulion Laut pada 8:00 pagi ini (16 Disember 2025) bagi mengkoordinasi usaha pencarian berskala besar.
Operasi hari pertama ini melibatkan 56 personel daripada pelbagai agensi dan sukarelawan, iaitu,
Polis Diraja Malaysia (PDRM) IPD Kota Belud: 11 anggota.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) 13 anggota bersama 1 Unit Anjing Pengesan (K9).
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) 6 anggota.
Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) 6 anggota.
Penduduk Kampung Tambulion 20 orang.
Pasukan SAR telah membahagikan kawasan pencarian kepada dua zon utama iaitu,
Zon Pesisiran Sungai: Meliputi tebing kiri dan kanan Sungai Wariu sejauh 3 kilometer.
Zon Daratan: Merangkumi kawasan hutan sekunder, kebun, sawah, serta kawasan semak dan sekitar rumah mangsa di Kampung Tambulion Laut.
Operasi intensif telah dijalankan dari jam 9:00 pagi hingga 12:00 tengah hari,dan disambung semula pada jam 2:00 petang setelah taklimat penugasan diberikan. Unit K9 Bomba turut digerakkan untuk meningkatkan keberkesanan pencarian. Walau bagaimanapun, usaha tersebut belum berjaya mengesan mangsa.
Pada jam 6:00 petang, operasi terpaksa dihentikan buat sementara bagi hari pertama ekoran cuaca buruk (hujan lebat) yang membahayakan keselamatan anggota dan mengurangkan keberkesanan pencarian.
Menurut kenyataan rasmi, kerjasama semua pihak adalah sangat memuaskan dan tiada insiden tidak diingini dilaporkan.
Operasi akan disambung semula pada esok hari, 17 Disember 2025, tertakluk kepada penilaian cuaca dan situasi terkini. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan mangsa diminta untuk menghubungi IPD Kota Belud dengan segera.


















Comments