top of page
nabalunews

60 mengikuti Kursus Kepimpinan dan Keterampilan Diri

15 Oktober 2024


NABAWAN: Seramai 60 orang mengikuti Kursus Kepimpinan dan Keterampilan Diri anjuran pergerakan wanita, pemuda dan beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Nabawan.


Kursus yang berlangsung di dewan mesyuarat Pertubuhan Peladang Nabawan siang tadi itu dikendalikan oleh para penceramah daripada Junior Chamber International (JCI).


Berucap merasmikan kursus itu, isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin, Datin Asiah Azlan berharap agar semua peserta dapat mengaplikasikan sebaik mungkin apa yang telah dipelajari dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin.


"Saya yakin apa yang para peserta perolehi dalam kursus ini sedikit sebanyak akan menjadi titik tolak kepada permulaan menjadi seorang pemimpin yang berwibawa dan berketrampilan" katanya.


Beliau juga berharap agar objektif kursus ini tercapai iaitu untuk melahirkan pemimpin yang berkualiti dan mampu menjalankan tugas dengan berkesan.


Asiah berkata, JCI yang merupakan badan bukan kerajaan memfokuskan untuk mengasah serta membentuk bakat kepimpinan peserta yang terlibat menjadi pemimpin yang lebih baik demi menghasilkan masyarakat yang lebih baik.


Sehubungan dengan itu katanya, melalui perkongsian para penceramah kursus ini dapat meningkatkan jati diri bagi membina keyakinan diri para peserta sebagai pemimpin agar menempa kejayaan yang lebih cemerlang dan sentiasa relevan dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.


Hadir sama Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Nabawan, Ulin Datuk Pamiang yang juga Ketua Daerah Nabawan, Ketua Daerah Kecil Pagalungan Philip Antugi dan barisan kepimpinan bahagian, wanita, pemuda,  beliawanis Gagasan Rakyat Nabawan dan pemimpin parti komponen GRS Nabawan.

Comments


bottom of page