600 pelajar sertai JOTA Sedunia di Kadamaian
top of page
  • Wartawan Nabalu News

600 pelajar sertai JOTA Sedunia di Kadamaian

28 Oktober 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Seramai 600 ahli Pengakap dari beberapa sekolah di daerah Kota Belud, Kota Marudu, Pitas, Tandek, dan Kundasang menyertai Jambori On The Air (JOTA) Sedunia Kali Ke-56 yang julung kalinya diadakan di kawasan DUN Kadamaian.


Program itu merupakan satu program antarabangsa melibatkan penggunaan teknologi komunikasi radio dan internet untuk berhubung dengan warga pengakap di seluruh dunia.


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, program itu memberi peluang kepada para belia untuk meningkatkan ilmu pengetahuan, menambah pengalaman dan ketrampilan dalam kepimpinan.

Beliau berkata, program ini adalah platform terbaik untuk mempromosikan Sabah kepada dunia luar melalui teknologi komunikasi.


"Melalui program ini, para belia dapat menunjukkan keindahan dan kehebatan negeri Sabah kepada dunia luar dan menarik minat mereka melawat negeri ini.


“Saya harap para belia menjadi duta pelancongan dan menonjolkan ciri-ciri kepengakapan seperti persaudaraan, persetiaan dan kesukarelaan dalam berkomunikasi dengan warga pengakap di seluruh dunia," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Perhubungan ADUN Kadamaian Carlye Lajimin.


Program ini yang diadakan selama tiga hari membawa erti yang besar dalam pergerakan belia khususnya kepengakapan.


Bukan sahaja program tersebut memperlihatkan kesenimbungan proses latihan yang dijalankan dalam bidang kepengakapan tetapi juga sebagai pengiktirafan kepada seseorang ahli Pengakap diatas kejayaan mereka dalam mengharungi cabaran dan ujian.

Pergerakan Pengakap adalah salah satu pertubuhan yang berjasa dalam pembangunan belia dan negara.


"Saya menghargai sumbangan dan komitmen pergerakan pengakap dalam membentuk generasi belia negara yang memiliki peribadi yang bersepadu dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial serta menjadi penggerak kepada kemajuan dan kemakmuran,” katanya.


Majlis penutupan program dihadiri Ketua Pesuruhjaya Pengakap Sabah, Jamaluddin Jinal, Pegawai Pendidikan Kota Belud Dr. Japran Kunsin, wakil Yayasan Bank Rakyat, Guru Besar SK Tambulion, guru-guru dan para pelajar.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page