699 PATI Filipina Dihantar Pulang
- nabalunews
- 34 minutes ago
- 2 min read

21 November 2025
SANDAKAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, menghantar balik seramai 699 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina ke negara asal, semalam.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, ia membabitkan seramai 430 lelaki, 128 wanita, 119 kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dan 22 bayi berusia bawah 23 bulan.
Katanya, semua PATI ini ditahan di Depot Imigresen Kota Kinabalu, Depot Imigresen Papar dan Depot Imigresen Sandakan sebelum dipindahkan menggunakan pengangkutan laut terus ke Zamboanga, Filipina.

“Semua purata umur bagi tahanan yang terlibat pemindahan kali ini adalah antara berusia empat hari sehingga 77 Tahun.
“Kanak-kanak yang terlibat dengan penghantaran pulang adalah bersama ibu bapa dan penjaga masing-masing melalui laut dengan menggunakan pengangkutan Vessel MV Antonia 1,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, sehingga kini, seramai 7,635 tahanan warganegara Filipina, 1,757 warganegara Indonesia, 252 warganegara Pakistan, 84 warganegara China, 39 orang warganegara Vietnam, 10 orang warganegara India, 3 orang warganegara Thailand dan 24 orang lain-lain warganegara telah berjaya dipindahkan ke negara asal.

Katanya, ia menjadikan jumlah besar seramai 9,804 orang keseluruhan statistik warganegara asing yang telah dipindahkan balik ke negara asal melalui pengangkutan laut dan udara
“Semua tahanan PATI telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang- undang yang telah ditetapkan dan mempunyai Travel Document (TD) yang sah untuk melayakkan diri mengikut proses pemindahan tahanan asing ke negara asal.
“Proses pemindahan ini bergantung kepada tindakan segera pihak kedutaan untuk mengeluarkan Travel Document (TD) kerana ianya memberi kesan kepada tempoh keberadaan tahanan di Depot-depot Imigresen,” katanya.
Sehubungan itu, SH Sitti Saleha menegaskan kerjasama dan keprihatinan pihak kedutaan amatlah diperlukan bagi memastikan proses pemindahan tahanan ke negara asal dapat dilaksanakan segera dan teratur.
“Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana majikan yang melindungi pekerja asing tanpa dokumen yang sah.
“Majikan boleh dikenakan hukuman berat mengikut Akta Imigresen 1959/63 termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara dan sebatan bagi kesalahan bersubahat atau melindungi pendatang tanpa izin (PATI),” katanya.


















Comments