70 PATI warga Indonesia diusir pulang ke negara asal
- nabalunews
- Oct 16, 2024
- 1 min read

16 Oktober 2024
KOTA KINABALU: Seramai 70 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dipindahkan melalui Pelabuhan Tawau untuk balik ke negara asal, semalam.
Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin itu dilaksanakan menggunakan pengangkutan laut ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, pemindahan kali ini membabitkan seramai 52 lelaki dan 17 wanita.
Selain itu katanya, JIM turut menghantar pulang seorang kanak-kanak kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.
“Ini adalah program pemindahan siri ke-17 untuk kategori Usir melalui laut bagi tahun 2024 ke negara asal masing-masing menggunakan pengangkutan feri ekspres sehingga ke negara asal.
“Semua PATI berusia lingkungan satu hingga 60 tahun ini melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
SH Sitti Saleha berkata, pemindahan kali ini juga hanya membabitkan tahanan warga Indonesia dari Depot Imigresen Tawau.
“Kekerapan pemindahan ini adalah tertakluk kepada kerjasama pihak Konsulat Republik Indonesia (KRI), Tawau untuk mempercepatkan pengeluaran dokumen perjalanan sebelum boleh dihantar pulang,” katanya.
Sementara itu, SH Sitti Saleha berkata, pihaknya senantiasa komited dalam memastikan aktiviti penguatkuasaan dan proses pemindahan tahanan daripada depot-depot ke negara asal dilaksanakan dari semasa ke semasa dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terjamin selaras slogan Jabatan.
Comments