Perlawanan Persahabatan 5 Penjuru Tengkurus Semarak Hari Kebangsaan 2026
- nabalunews
- 1 hour ago
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
KOTA BELUD, 1 September – Perlawanan Persahabatan 5 Penjuru Kampung Tengkurus yang berlangsung pada 30 dan 31 Ogos 2026 di Padang Awam Tengkurus Abadi berjaya menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Sabah 2026, di samping mengukuhkan perpaduan serta semangat patriotisme dalam kalangan komuniti setempat.
Acara yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Bertindak Kampung Tengkurus dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tengkurus, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Tengkurus, dan KRT Tengkurus Abadi itu telah dirasmikan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat bagi Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Jeremy@Ukoh Malajad, yang hadir mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.

Jeremy menjelaskan bahawa penganjuran kejohanan tersebut merupakan inisiatif serta sumbangan Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III dan Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, bagi melaksanakan program komuniti sempena cuti Hari Kebangsaan khusus untuk belia dan penduduk Kampung Tengkurus.
Beliau turut menegaskan bahawa program ini bukan sahaja bertujuan menguji bakat sukan tempatan, malah menjadi platform mengeratkan silaturahim, mengamalkan gaya hidup cergas dan sihat, serta menjana ekonomi kepada komuniti setempat.
Turut disampaikan oleh Jeremy, selain sumbangan penganjuran kejohanan, Ewon juga menyumbangkan sebuah mesin rumput untuk kegunaan belia dalam penyelenggaraan padang, serta 100 buah kerusi bagi dewan komuniti Kampung Tengkurus.
Menurut Jeremy yang juga anak jati Kampung Tengkurus, beliau bersyukur atas keprihatinan Ewon terhadap komuniti kampungnya.
“Sebagai anak jati Kampung Tengkurus, saya bersyukur atas keprihatinan Ewon kepada komuniti kampung Tengkurus,” katanya.
Jeremy memaklumkan bahawa sumbangan tersebut telah dipersetujui oleh Ewon semasa lawatan turun padang di mukim Tengkurus pada 26 Ogos lalu, yang turut melibatkan tinjauan projek pembinaan naik taraf Jalan Tengkurus–Lahanas.
Sepanjang dua hari pelaksanaan, pelbagai hadiah galakan dan hadiah kemenangan menarik disediakan kepada peserta yang berjaya sebagai penghargaan atas sokongan dan penyertaan mereka.















Comments