top of page

Hopes Malaysia Bawa Bekalan Paip Graviti ke Kampung Singgahmata, Taginambur Jaya

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


KOTA BELUD, 1 September – Penduduk Kampung Singgahmata, Taginambur Jaya, bakal menikmati bekalan air bersih tidak lama lagi menerusi pemasangan paip graviti hasil inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Hopes Malaysia, yang dilaksanakan melalui program gotong-royong komuniti semalam.


Projek itu antara bantuan berterusan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berkenaan di kawasan Kadamaian, selain sumbangan paip graviti, pembaikan jambatan gantung, serta Program Tanaman Lestari (Kebun Halaman) di Kampung Bukit Bendera sebelum ini.



Penyelaras Tapak Kanan Hopes Malaysia Kota Belud, Effendy Lim, berkata pihaknya bukan sahaja memberi tumpuan di Taginambur, malah turut membantu beberapa kampung lain di Kadamaian termasuk Kampung Tinata, Gensurai, Tambatuon, Terintiden dan banyak lagi, bagi memenuhi keperluan asas komuniti setempat.


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taginambur Jaya, David Samudin, merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, kerana sentiasa peka terhadap permasalahan rakyat.


Beliau menyatakan bahawa peruntukan pembangunan disalurkan di setiap kampung, selain inisiatif membawa badan-badan bukan kerajaan (NGO), korporat, dan agensi untuk melaksanakan program CSR di Kadamaian.


David turut mengucapkan terima kasih kepada NGO seperti Hopes Malaysia atas sumbangan yang diberikan.


Menurutnya, walaupun kawasan jagaan beliau merangkumi tiga kampung yang agak luas, setiap kampung tetap mendapat peruntukan projek daripada pemimpin dan pihak NGO yang prihatin terhadap masalah komuniti demi keselesaan penduduk.


Penyelia Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Joel Ewel Deukin, yang turut serta dalam program gotong-royong itu turut mengucapkan terima kasih kepada Hopes Malaysia atas sumbangan yang diberikan.


Beliau menegaskan bahawa pihaknya bertanggungjawab menerima input daripada kepimpinan kampung seperti permasalahan kampung, permohonan pembangunan dan pembaikan, untuk diproses oleh kepimpinan seperti Pejabat Daerah dan ADUN kawasan bagi mencari jalan penyelesaian, seterusnya memantau pelaksanaan setiap projek yang diluluskan bagi memastikan kesemua pembangunan di kawasan tersebut siap mengikut jadual.


Program gotong-royong yang melibatkan penduduk kampung itu berjalan lancar dan dijangka siap dalam masa terdekat, sekali gus menampung keperluan air harian penduduk setempat yang selama ini terpaksa bergantung sepenuhnya kepada bekalan air bermeter.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page