PMX umum 6 inisiatif segera bantu rakyat dan peniaga
- nabalunews
- 3 hours ago
- 1 min read

30 Ogos 2026
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan enam inisiatif strategik segera sempena Amanat Hari Kebangsaan ke-69 hari ini.
Berkuat kuasa 1 September, kelayakan subsidi BUDI MADANI dikembalikan dengan kuota 300 liter bagi BUDI 95 (memanfaatkan 16 juta pengguna) dan 400 liter bagi BUDI DIESEL (memanfaatkan lebih 0.5 juta pengguna pikap dan jip).
Bagi memastikan tiada sekolah tercicir, kerajaan memperuntukkan kos penyelenggaraan RM1 bilion masing-masing untuk tahun 2026 dan 2027, berserta suntikan tambahan RM500 juta bagi pembaikan prasarana tahun 2027.
“Bantuan ini meliputi semua jenis sekolah termasuk SJK Cina/Tamil, agama, tahfiz, pondok dan pendidikan khas, dengan tinjauan KPM bermula 1 September sebelum kerja bermula seawal Januari 2027,” jelas Anwar dalam pengumuman tersebut.
Kerajaan turut memperkenalkan Inisiatif digital melalui Program AI untuk Rakyat dengan menawarkan langganan percuma YTL AI LABS selama tiga bulan kepada 100,000 belia (berusia 18 hingga 30 tahun) yang berjaya melengkapkan modul pembelajaran di portal Rakyat Digital.
Dalam pada itu, sistem penjagaan perubatan awam turut dinaik taraf dengan peruntukan RM1 bilion bagi pelaksanaan Rekod Kesihatan Elektronik (EMR) dan WiFi di 150 hospital serta 2,000 klinik kesihatan untuk mempercepat rawatan dan mengurangkan waktu menunggu.
Untuk meringankan beban perniagaan, 1.1 juta syarikat kini dikecualikan daripada sistem e-Invois selepas syarat ambang jualan tahunan dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM3 juta.
Sebagai sokongan peniaga kecil, RM200 juta disalurkan menerusi Geran Sejahtera MADANI untuk kelengkapan penjaja, peniaga pasar malam dan ibu yang berniaga dari rumah.
Selain itu, dana Pinjaman Perniagaan Mikro 2026 ditambah sebanyak RM1 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan kemudahan kredit itu kepada RM6 bilion.















Comments