top of page

Ewon tinjau projek kecil, kemudahan rakyat di Penampang

  • nabalunews
  • 1 minute ago
  • 2 min read

29 Ogos 2026


PENAMPANG: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick hari ini meninjau beberapa projek kecil dan kemudahan rakyat yang siap dilaksanakan menerusi Peruntukan Khas Ahli Parlimen Penampang.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, projek-projek berkenaan dilaksanakan berdasarkan keperluan penduduk termasuk aduan dan permohonan yang dikemukakan kepada Pusat Khidmat Ahli Parlimen Penampang.



Antara projek yang ditinjau ialah pembinaan gabion di Kampung Sindanan yang siap dilaksanakan tahun ini serta projek pembinaan gabion di Kampung Nosoob Baru yang kini dalam pelaksanaan.


Ewon turut meninjau hasil pelaksanaan projek menaik taraf jalan perumahan kepada jalan konkrit di Kampung Hubah yang dilaksanakan menerusi Peruntukan Khas Ahli Parlimen Penampang.



Beliau berkata, keadaan jalan berkenaan pernah ditinjau sebelum ini sebelum peruntukan disediakan bagi menaik taraf jalan itu untuk kemudahan lebih baik kepada penduduk.


Turut ditinjau ialah jalan perumahan konkrit di Kampung Tuavon yang dilaksanakan pada hujung tahun lalu bagi menggantikan jalan gravel.



Dalam lawatan sama, Ewon turut meninjau hasil pelaksanaan projek pembinaan culvert konkrit dan tebing gabion di Kampung Sogumau Madsiang.


Menurutnya, kemudahan itu dibina selepas jalan di kawasan itu terputus akibat hakisan tanah sehingga menjejaskan laluan penduduk.



“Susulan lawatan saya bersama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Penampang, saya menyediakan peruntukan untuk membina culvert dan tebing gabion. Kemudahan itu sudah siap,” katanya.


Ewon seterusnya meninjau projek pembinaan parit konkrit di Kampung Timpoluon Sokid yang sedang dilaksanakan susulan aduan penduduk dan lawatan urus setia pusat khidmatnya.



Beliau turut melawat Dewan Terbuka Kampung Timpangoh Babagon yang siap dibina tahun ini menerusi Peruntukan Khas Ahli Parlimen Penampang.


Katanya, pembinaan dewan terbuka itu merupakan antara keperluan yang dikemukakan penduduk kampung ketika kunjungannya ke kawasan itu tahun lalu.


“Penduduk memohon sebuah dewan terbuka kerana kemudahan seumpama itu belum pernah ada di kampung mereka. Saya bersyukur kemudahan ini dapat direalisasikan pada tahun ini untuk kegunaan komuniti setempat,” katanya.


Terdahulu, Ewon menghadiri Bazaar St Paul Nagasiba dan turut membeli kupon sebagai sokongan kepada usaha mengumpul dana bagi pembinaan bangunan baharu Gereja St Paul Nagasiba.


Beliau berkata, pada April lalu, sebanyak RM50,000 telah disalurkan menerusi peruntukan Ahli Parlimen Penampang bagi menyokong tabung pembangunan gereja berkenaan.


Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan tambahan sebanyak RM8,000 kepada Jawatankuasa Pengumpulan Dana (Fund Raising Committee), menjadikan keseluruhan sumbangan yang disalurkan tahun ini sebanyak RM58,000.


“Semoga usaha bersama ini dapat membantu merealisasikan pembinaan bangunan baharu Gereja St Paul Nagasiba untuk kegunaan dan keselesaan komuniti gereja,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page