top of page

85 Kenderaan Diperiksa, 21 Saman Dikeluarkan Dalam Op Motosikal Ambang Merdeka di Penampang

  • nabalunews
  • 1 day ago
  • 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


PENAMPANG, 31 Ogos – Seramai 88 individu dan 85 buah kenderaan telah diperiksa dalam Operasi Motosikal "Ambang Merdeka 2026" yang dilaksanakan di Jalan Papar–Kota Kinabalu, malam tadi hingga awal pagi ini.


Sepanjang operasi yang berlangsung selama beberapa jam itu, sebanyak 21 keping saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.



Menurut ketua operasi, Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Penampang, Inspektor Rozami Hj. Ahmad, kesalahan yang dikesan termasuk tiada lesen memandu, tidak mempamerkan lesen L, cermin pandang belakang tidak mengikut peraturan, melanggar lampu isyarat merah, pengubahsuaian ekzos, serta Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang tamat tempoh.


Operasi yang melibatkan sembilan pegawai dan anggota polis serta dibantu anggota Polis Sukarelawan Simpanan (PVR) ini bertujuan mengesan, mencegah dan mengambil tindakan terhadap penunggang motosikal yang melakukan pelanggaran undang-undang jalan raya, terutamanya pengubahsuaian motosikal secara berlebihan.


Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang memberi jaminan akan terus mempertingkatkan operasi dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap pematuhan undang-undang serta keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page