top of page

70 saksi akan dipanggil beri keterangan inkues kematian Zara Qairina – AGC

  • nabalunews
  • Aug 30
  • 2 min read

ree

30 Ogos 2025


KOTA KINABALU: Seramai 70 saksi akan dipanggil memberi keterangan dalam prosiding inkues berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir yang dijadual September ini di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.


Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan berkata, antara saksi utama yang akan dipanggil ialah pakar patologi yang menjalankan bedah siasat ke atas jenazah mangsa yang dijangka memberi keterangan berhubung punca kematian pelajar itu.


"Pasukan Pegawai Pengendali juga telah membuat persiapan rapi, termasuk penyediaan dokumen yang akan dikemukakan semasa prosiding inkues tersebut serta penyerahan dokumen tersebut kepada peguam-peguam yang mewakili pihak-pihak berkepentingan dalam prosiding berkenaan.


"Prosiding inkues ini juga akan disertai oleh pihak-pihak berkepentingan dan peguam pemerhati sepertimana yang telah dibenarkan oleh Mahkamah Koroner," menurut kenyataan itu.


Menurut AGC, pihak-pihak berkepentingan itu termasuk ibu Zara Qairina, diwakili Tetuan Hamid & Co, Shahlan Jufri & Co, Tetuan Rizwan M Borhan & Co, JP Keruak serta Messrs FN Lee & Nasser.


Jelasnya, pihak berkepentingan pesalah kanak-kanak pertama diwakili oleh Tetuan Ram Singh & Co serta Goh & Associates, manakala pihak berkepentingan pesalah kanak-kanak kedua hingga kelima diwakili oleh Tetuan Azhier Arisin & Jaafar.


Sementara itu, Sabah Law Society pula bertindak sebagai peguam pemerhati.


"AGC bertekad memastikan prosiding inkues berjalan lancar demi memastikan keadilan dapat ditegakkan dan jabatan juga berpegang kepada prinsip keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan, malah mesti dilihat sebagai telah dilaksanakan,” katanya.


Terdahulu, pihak Pendakwa Raya telah mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Koroner Kota Kinabalu bagi mengadakan inkues selaras dengan subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).


Prosiding inkues berkenaan telah ditetapkan untuk pendengaran pada 3 hingga 5, 8 hingga 12, 17 hingga 19, 22 hingga 26 dan 29 hingga 30 September 2025.


Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datuk Mustapha di Papar pada 16 Julai dan disahkan meninggal keesokannya di Hospital Queen Elizabeth 1.


Pada 8 Ogos, AGC mengarahkan jenazah Zara digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan, sebelum mengumumkan satu inkues akan diadakan berhubung kematiannya selepas meneliti laporan siasatan polis 13 Ogos lalu.

 
 
 

header.all-comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page